KV Keningau Johan & Naib Johan Pertandingan Pitchbah 2023

KENINGAU : Dua pasukan Kolej Vokasional Keningau dari dua program yang berbeza, Teknologi Elektrik dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, telah berjaya mendominasi pertandingan keusahawanan Pitchbah anjuran Ooze Club apabila muncul sebagai johan dan naib johan dengan hadiah wang ringgit berjumlah RM 5000 bagi pemenang tempat pertama dan RM 3000 bagi pemenang tempat kedua.

Pertandingan ini berlangsung dari 17 Jun 2023 secara dalam talian dan berakhir pada 2 Julai 2023 dengan pusingan akhir yang dijalankan secara bersemuka di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.

Terdapat seramai 20 pasukan yang menyertai latihan intensif secara dalam talian di peringkat permulaan pertandingan ini sebelum saringan dijalankan melalui dua pusingan pembentangan projek.

Peringkat akhir yang berlangsung secara bersemuka dihadiri oleh 10 pasukan yang layak menjadi finalis. Bahasa yang digunakan adalah bahasa Inggeris dan ianya dinilai oleh barisan hakim yang terdiri daripada usahawan-usahawan sosial.

Pasukan yang menjuarai pertandingan ini dikenali sebagai Dry Easy terdiri daripada empat pelajar program teknologi elektrik yang mempertengahkan alat pengering kasut yang dibina khas untuk pelajar-pelajar yang tinggal di asrama bagi memastikan keselesaan mereka ke sekolah terutamanya pada musim hujan.

Ahli-ahli pasukan ini adalah Claijster Cristhian, Nurul Nadiirah Naquyyah, Glenn Nichles dan Vincent Frankie dan mereka merancang untuk menggunakan hadiah wang berjumlah RM 5000 yang mereka menangi untuk membina versi kedua alat pengering kasut tersebut yang lebih ringan dan selamat.

Manakala pasukan yang mendapat naib johan dalam pertandingan ini menampilkan projek mereka “Mearpet” yang merupakan boneka cerita rakyat yang diperbuat daripada mainan patung dan pakaian terpakai. Boneka-boneka ini digunakan untuk mendidik dan menghibur kanak-kanak.

Pasukan yang berjaya membawa pulang RM 3000 ini ditubuhkan oleh empat ahli iaitu Siti Nur Hanisah bt Omar Hashim, Nydia Natasha binti Jefrin, Nursofi Aisyahtul Fatihah Bt Mohd Rasili dan Azzulfa Haryani binti Mohd Azri.

Wakil dari pasukan Dry Easy, Naadirah Naquyyah, meluahkan rasa gembira dengan kemenangan mereka kerana ianya merupakan kali pertama dia dan pasukannya menyertai pertandingan inovasi dan ianya mencabar mereka untuk meningkatkan kemahiran mereka berkomunikasi terutamanya dalam Bahasa Inggeris.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Christine Stanislaus Kinsik, sangat berbangga dengan pencapaian pasukan kolej itu yang berjaya mendominasi pertandingan berprestij tersebut dan dia berharap agar pelajar-pelajar ini terus memperkembangkan projek mereka agar ianya dapat memberi faedah kepada komuniti luar dari kolej itu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *