Kerajaan Teliti Wajib Keluar KWSP Bulanan Pada Usia 55 Tahun, Kata PM

Pada masa ini, pengeluaran simpanan KWSP selepas bersara adalah secara sukarela. 

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang memuktamadkan butiran berhubung cadangan mewajibkan pesara membuat pengeluaran bulanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila mereka mencapai usia 55 tahun, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga menteri kewangan berkata, Putrajaya tidak mempunyai bantahan terhadap cadangan itu tetapi ia bergantung kepada kapasiti KWSP.

“(Cadangan) itu masih di peringkat akhir,” katanya kepada pemberita selepas satu acara.

“(Ketua Pegawai Eksekutif KWSP) Amir Hamzah (Azizan) tadi ada (maklumkan) beberapa tentangan, terutama dalam kalangan (pencarum) yang simpanannya terlalu kecil.”

Pada masa ini, pengeluaran KWSP selepas bersara adalah secara sukarela.

Semua pemegang akaun KWSP boleh mengeluarkan sehingga 30% daripada simpanan mereka pada usia 50 tahun. Apabila mencapai usia 55 tahun, mereka boleh membuat pengeluaran penuh atau sebanyak mana yang mereka kehendaki.

Semalam, Sinar Harian melaporkan Amir berkata, pengeluaran bulanan tersebut akan memberikan peluang kepada pencarum menerima dividen tahunan dengan baki simpanan yang mereka ada.

Katanya, tidak ramai yang memilih membuat pengeluaran bulanan pada masa ini, dan ini memberi ruang kepada KWSP untuk mempromosikannya dengan lebih hebat.

Amir berkata, penyelidikan dan perbincangan lanjut dengan kerajaan perlu dilakukan sebelum sebarang keputusan dibuat. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *