TAWAU : Cabaran bentuk muka bumi antara kesukaran dihadapi pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian lelaki berumur 33 tahun bersama anak saudaranya, 11 tahun, yang dilaporkan hilang ketika keluar berburu, sejak 24 Jun lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau Jemishin Ujin berkata, selain faktor muka bumi dan kawasan hutan yang luas, pihaknya juga berdepan masalah kekurangan maklumat selain ketiadaan liputan talian telefon sehingga menyukarkan komunikasi.
Namun menurutnya, walaupun berdepan pelbagai cabaran ia tidak mematahkan semangat anggota dan pasukan SAR untuk terus melancarkan misi menyelamat yang memasuki hari ke-4 kira-kira jam 6 pagi, hari ini, selepas ditangguhkan lewat petang semalam.
“Menerusi Operasi SAR yang dilancarkan semalam juga, kita turut mendapat khidmat bantuan empat orang dari Pasukan SAPURA (komunikasi) yang turut menyertai operasi pencarian.
“Pada masa sama, Pusat Khidmat Operasi Bencana (PKOB) juga akan dipindahkan ke kawasan lain mengikut kesesuaian lokasi pencarian yang turut diperluaskan sejauh sepuluh kilometer,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Jemishin berkata walaupun sudah lebih seminggu dilaporkan hilang, namun pasukan penyelamat tetap optimis kedua-dua mangsa dapat ditemukan dengan selamat.
“Kita yakin, mangsa masih berpeluang ditemukan selamat sekiranya mempunyai kemahiran atau ikhtiar hidup kendiri dalam hutan,’ katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kedua-dua mangsa dikenali sebagai Iwan Bin Musakir, 33, bersama anak saudaranya, Al Fajri Bin Anto, 11, dikhuatiri hilang selepas keluar berburu di kawasan hutan berhampiran Ladang OP 6 Usahawan Borneo Brumas, dekat sini, sejak Sabtu minggu lalu. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost