Ketua Menteri Sabah Akan Berbincang Dengan Shell Malaysia Isu Penutupan Stesen Minyak

KOTA KINABALU, 23 Jun : Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor akan mengadakan pertemuan dengan Shell Malaysia untuk berbincang isu penutupan 35 stesen runcit di Sabah dan Labuan yang dijadualkan pada tahun depan.

“Saya maklum berhubung situasi ini dan akan bertemu dengan Pengerusi Shell Malaysia Siti Hurrairah Sulaiman untuk mendapatkan maklumat lanjut dan nasib peruncit yang terkesan di Sabah dan Labuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shell Timur Sdn Bhd, yang mengendalikan kios Shell di Sabah dan Labuan, telah mengesahkan untuk menutup stesen runcit yang kurang produktif di  Malaysia Timur bagi mengekalkan prestasi syarikat.

Pada Selasa, 35 stesen minyak Shell di Sabah dan Labuan dilaporkan bakal ditutup menjelang Januari tahun depan, dan 500 individu dijangka hilang pekerjaan.

Stesen terlibat adalah 10 di Tawau, dua di Semporna, enam di Lahad Datu, 12 di Sandakan, dua di Labuan dan masing-masing satu di Likas, Telipok dan Kuala Penyu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *