Penduduk Labuan Rimas, Gangguan Bekalan Air, Elektrik Ketika Panas Terik

Sebuah pasaraya di Jalan Pohon Batu, Labuan, tidak dapat beroperasi susulan gangguan bekalan elektrik, sejak malam tadi.

LABUAN : Gangguan bekalan air dan elektrik tidak berjadual di Labuan bertambah buruk dengan keadaan cuaca panas ketika ini.

Penduduk Labuan yang berhadapan kesukaran akibat gangguan bekalan itu yang berpanjangan dan turut meluahkan rasa kesal di platform media sosial, merayu kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian yang berkesan.

“Selepas berdepan kesukaran dengan gangguan air dan elektrik setiap minggu, pulau ini yang dikelilingi laut, kini semakin buruk dengan keadaan cuaca yang panas terik.

“Tiada bekalan air, elektrik, dan kini kami perlu duduk di dalam rumah sendiri kerana cuaca yang terlampau panas,” kata Rosli Bahrum, 43, kepada Bernama.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Labuan merekodkan suhu setinggi 38 darjah celsius dan keadaan cuaca panas dijangka berterusan hingga Mei.

Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) melaksanakan catuan bekalan elektrik sejak akhir bulan lalu kerana kekurangan kapasiti penjanaan di grid kuasa di Labuan dan Sabah yang menjejaskan beberapa kampung termasuk di Labuan.

Jurucakap SESB berkata, sekurang-kurangnya dua “feeder” melibatkan beberapa kampung hari ini terlibat dengan catuan bekalan elektrik selama satu hingga tiga jam.

Kampung yang terjejas ialah Kampung Bukit Kalam, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Kalam, Kampung Pulau Akar, Dewan Arena Kampung Kilan, Taman Lazenda 6, Perumahan Perbadanan Labuan (PL), Pam JBA Bukit Kuda, Perumahan Kastam Bukit Kuda, Kampung Bukit Kuda, JS Sport Centre dan kawasan sekitar, Kolej Vokasional Labuan, Kampung Lajau, Lazenda Villa 5, dan kawasan sekitarnya.

Bahagian Bekalan Air Labuan dalam kenyataan semalam memaklumkan pam air IPS Bukit Kalam tidak berfungsi kerana terjejas dengan catuan bekalan elektrik, menyebabkan ia sukar untuk mengepam keluar air ke tangki pengimbang di Bukit Besar.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *