Rogol Anak Saudara OKU, Warga Emas Dipenjara 15 Tahun, 10 Sebatan

Buruh ladang, Moin Usop, (tengah) ketika berada di Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini.

 TAWAU : Seorang warga emas dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Tawau selepas mengaku salah merogol anak saudaranya yang juga OKU lembam, pada Mac tahun lalu.

Hakim Rosli Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Moin Usop, 60, yang juga buruh ladang selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa berumur 20 tahun dalam tandas di sebuah rumah pekerja ladang kelapa sawit dalam daerah Semporna, pada 12.30 tengah malam, 7 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun serta hukuman sebat.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, menurut Berita Harian.

Syahnidzam dalam hujahnya memohon hukuman berat atas faktor kepentingan awam selain sebagai pengajaran kepada tertuduh dengan mengambil kira faktor pertalian darah antara tertuduh dan mangsa dalam kes itu adalah anak saudaranya sendiri.

Katanya, tertuduh yang tinggal sebumbung bersama mangsa dan ibunya seharusnya bertindak sebagai pelindung dan bukan mengambil peluang atas kekurangan mangsa.

“Pendakwaan juga ingin tekankan pada mahkamah keadaan mangsa ialah seorang individu (OKU) lembam, namun tertuduh tergamak merogol mangsa yang juga anak saudaranya sendiri,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, kejadian pada 12.30 tengah malam itu ketika mangsa bangun untuk ke tandas, sebelum tertuduh bertindak mengekori mangsa lalu merogolnya.

Kejadian itu bagaimanapun disedari ibu mangsa yang sempat menyaksikan sendiri perbuatan keji tertuduh itu sebelum membuat laporan polis.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *