Pemakaian Pelitup Muka Ketika Solat Aidilfitri Ikut SOP Fasa Peralihan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR : Pemakaian pelitup muka semasa menunaikan solat Aidilfitri di masjid atau surau kekal mengikut prosedur operasi standard (SOP) fasa peralihan ke endemik yang sedang berkuatkuasa.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Hakimah Mohd Yusoff, berkata SOP fasa peralihan ke endemik amat menggalakkan pemakaian pelitup muka jika berada di kawasan ramai orang dan sesak.

Beliau berkata, penetapan itu dibuat hasil perbincangan bersama Mufti Wilayah Persekutuan, Luqman Abdullah.

“Setelah merujuk Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), dimaklumkan bahawa SOP fasa peralihan ke endemik yang sedang berkuatkuasa pada masa ini amat menggalakkan pemakaian pelitup muka jika berada di kawasan ramai orang dan sesak.

“Memandangkan SOP ini masih berkuatkuasa, Jakim ingin menasihatkan kepada semua umat Islam supaya mengambil langkah berwaspada dan berhati-hati dengan kawalan kendiri jika berada di tempat perkumpulan ramai dan sesak, termasuk di masjid dan surau,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Mohd Na’im Mokhtar, berkata beliau akan mengadakan perbincangan bersama ketua pengarah Jakim dan mufti Wilayah Persekutuan berhubung penetapan pemakaian pelitup muka semasa menunaikan solat Aidilfitri.

Beliau berkata, walaupun ia baik untuk langkah pencegahan berikutan terdapat peningkatan penularan kes Covid-19 ketika ini, sebarang ketetapan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka perlu dirujuk kepada kedua-dua institusi terbabit terlebih dahulu.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *