Solat Aidilfitri Di Sabah: Bawa Sejadah, Berwuduk Di Rumah

Umat Islam di Sabah disaran membawa sejadah sendiri dan mengambil wuduk di rumah sebelum ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

KOTA KINABALU: Umat Islam di Sabah disaran membawa sejadah sendiri dan mengambil wuduk di rumah sebelum ke masjid atau surau untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal yang dijangka Jumaat atau Sabtu ini.

Saranan itu dibuat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) berdasarkan surat pekeliling bertarikh 17 April yang diedarkan kepada Pengerusi Masjid dan Surau di seluruh negeri.

Pengarahnya, Datuk Saifulzaman Sangul, berkata saranan itu sebagai usaha pihaknya untuk membendung penularan kes baharu COVID-19 di negeri ini.

Katanya, JHEAINS turut menetapkan pelaksanaan solat sunat Aidilfitri pada 1 Syawal 1444H diadakan secara serentak di seluruh Sabah bermula pada jam 7.45 pagi dengan memulakan Taklimat Kaifiat Solat Aidilfitri.

“Jabatan ini juga menyarankan supaya Muslimin dan Muslimat hendaklah membawa sejadah sendiri dan berwuduk dari rumah bagi membendung penularan kes COVID-19,” katanya.

Berdasarkan perkembangan terkini COVID-19 di Sabah yang dikeluarkan kelmarin, berlaku sedikit peningkatan kes yang dilaporkan pada minggu ke-15 tahun ini iaitu kepada 34 kes berbanding 30 kes yang dilaporkan pada minggu ke-14.

Empat kes baharu itu direkodkan di Kota Kinabalu (tiga) dan Tuaran (satu) dengan Tuaran menjadi satu-satunya daerah kembali ke zon jingga berikutan pertambahan pesakit yang menerima rawatan akibat COVID-19.

Baki 16 daerah di Sabah berada dalam zon hijau, manakala 10 daerah lagi dalam zon kuning.

Secara keseluruhan, seramai 142 pesakit COVID-19 menerima rawatan di hospital di Sabah setakat minggu ke-15. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *