Main Mercun Selepas 12 Malam Boleh Dikenakan Tindakan, Kata Polis

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin menasihatkan orang ramai supaya bermain bunga api atau mercun di kawasan lapang supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk. – Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR : Individu yang bermain mercun melebihi jam 12 tengah malam boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya jika mengganggu ketenteraman awam.

Setiausaha Polis, Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13, Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.

Noorsiah berkata, bunga api merupakan suatu bahan letupan yang dikategorikan sebagai ‘dangerous good cargo’ (DGC) dan ‘hazard class division (HCD) 1.4g, sekiranya dimainkan secara berbahaya, ia boleh mendatangkan kecederaan.

“Individu yang ingin bermain bunga api atau mercun hendaklah membakarnya di kawasan lapang supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, tindakan tegas juga boleh diambil terhadap individu yang sengaja menyebabkan letupan atau menyimpan bahan letupan dengan niat menyebabkan bahaya kepada nyawa atau harta benda.

Menurutnya, mereka boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 iaitu penjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Noorsiah juga menasihatkan orang ramai terutama ibu bapa supaya mengawasi anak masing-masing ketika bermain bunga api, bertanggungjawab serta mengamalkan langkah keselamatan semasa mengendalikan bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *