Lerry David Tersenarai 60 Finalis Cambridge Dedicated Teacher Awards 2023

KENINGAU : Lerry David, guru subjek bahasa Melayu di Kolej Vokasional Keningau, telah tersenarai sebagai salah seorang daripada 60 senarai pendek bagi anugerah guru berdedikasi Cambridge daripada 11,000 pencalonan di seluruh dunia.

Anugerah anjuran Cambridge University Press itu telah mengumumkan senarai tersebut di laman sesawangnya pada 10 April 2023. Ianya boleh diakses melalui: https://dedicatedteacher.cambridge.org/entries/

Daripada 60 finalis ini, enam guru akan mara sebagai pemenang kategori benua untuk peringkat seterusnya dan seorang pemenang global akan dipilih pada peringkat akhir.

Lerry David akan bersaing dengan 10 finalis bagi kategori benua Australia, New Zealand dan Asia Tenggara dan keputusan bagi peringkat itu akan diumumkan pada 24 April 2023.

Cikgu ini telah berjaya disenaraipendekkan atas sumbangannya sebagai ketua warden asrama yang telah melaksanakan pelbagai aktiviti seperti perlawanan sukan, kejohanan permainan video, aktiviti melukis mural, konsert lagu, persembahan fesyen dan banyak lagi sepanjang perintah kawalan pergerakan pada tahun 2020 dan 2021 untuk mengasah bakat pelajar dan membantu mereka dari segi kesihatan sosioemosi.

Menurut Lerry David, pencalonan itu membuatkanya berasa lebih bermotivasi memikul tugas sebagai ketua warden asrama sekolah itu dan dia berhasrat untuk melancarkan lebih banyak inisiatif agar para pelajar sentiasa berasa gembira dan selesa semasa tinggal di asrama.

Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Christine Stanislaus Kinsik, berasa sangat bangga dengan kejayaan tersebut kerana ianya merupakan satu penghargaan bagi pengorbanan dan usaha guru terbabit dan dia sangat berharap agar Lerry David dapat memenangi peringkat benua dan seterusnya peringkat global.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *