Juterbang Pesawat Double Six Ada Sejarah Prestasi Buruk, Kata Laporan

Nahas pesawat terhempas pada 1976 dikenali sebagai tragedi Double Six mengorbankan Ketua Menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain.

KUALA LUMPUR : Juruterbang pesawat terhempas pada 1976 yang mengorbankan ketua menteri Sabah ketika itu Fuad Stephens dan 10 yang lain ada sejarah penerbangan buruk, menurut laporan nahas dinyahklasifikasi.

Laporan itu berkata, menurut rekod juruterbang Gandhi J Nathan mempunyai 3,062 jumlah jam penerbangan.

“Siasatan terhadap sejarah juruterbang itu menunjukkan dia mengalami kesukaran untuk lulus ujian darat dan udara, dan hanya berjaya mendapat kelayakan pesawat Nomad pada lesennya pada Feb 1976.

Laporan itu mengatakan, dia menerima “beberapa siri laporan prestasi rendah daripada pemeriksa juruterbang syarikat itu”.

Katanya, rekod latihan dan prestasi Gandhi bersama syarikat yang menjalankan operasi Penerbangan Sabah, adalah “rendah”.

“Log penerbangan asal juruterbang itu didakwa terbakar pada Jun 1969 dan buku log gantian didakwa dicuri pada November 1975.

“Jumlah keseluruhan penerbangan daripada kedua-dua buku log penerbangan tidak dapat disahkan oleh syarikat. Ringkasan bulanan sejak buku log penerbangan baru dibuka hingga ke catatan terakhir juga tidak pernah diperiksa oleh syarikat.

“Jumlah jam penerbangan hanya anggaran berdasarkan maklumat yang ada pada buku log baharu juruterbang dan daripada buku kebenaran terbang syarikat itu.”

Katanya, Gandhi juga gagal bertindak balas sebanyak dua kali terhadap panggilan Kawalan Trafik Udara Kota Kinabalu bagi melaporkan melepasi ketinggian 2,000 kaki dan kebenaran mendarat sebelum pesawat itu terhempas.

Laporan juga menyatakan ujian patologi terhadap juruterbang mendapati dia bebas daripada sebarang kesan alkohol atau dadah. Bagaimanapun, ada bukti mencadangkan dia penat dan mengalami ketidakselesaan perut ringan.

Laporan itu juga menyatakan dianggarkan 325 paun (kira-kira 147kg) berat diletakkan di ruangan bagasi pesawat.

“Berat maksimum dibenarkan di ruangan bagasi adalah 198 paun (kira-kira 89kg).

“Bagaimanapun, jumlah keseluruhan pesawat ketika berlepas adalah 8,065 paun (kira-kira 3658kg), lebih rendah daripada had berat ditetapkan 8,500 paun (kira-kira 3855kg).

Laporan itu mencadangkan Penerbangan Sabah mengehadkan pesawat dan helikopter beroperasi bawah 6,000 paun (kira-kira 2,721kg) sehingga prosedur operasi dan kejuruteraannya ditambah baik dan Jabatan Penerbangan Awam berpuas hati.

“Pekeliling maklumat penerbangan perlu dikeluarkan kepada semua juruterbang dan operator dengan menekankan kepentingan mematuhi prosedur berkaitan beban, minyak, kerosakan, cuaca dan penerimaan sebelum penerbangan.”

Laporan itu disediakan secara bersama oleh Jabatan Penerbangan Awam, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Australia. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *