Lelaki OKU Ditemukan Rentung Dalam Kebakaran Di Tuaran

Anggota bomba memadam kebakaran rumah sebelum mangsa OKU dikenali Agus Ebah ditemukan dalam keadaan rentung di Kampung Tagas, Tuaran. – Foto JBPM

TUARAN : Lelaki warga emas orang kurang upaya (OKU) ditemukan rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Pertanian, Kampung Tagas di sini, malam tadi.

Mangsa dikenali Agus Ebah, 72, ditemukan dalam keadaan rentung oleh pasukan bomba sebaik kebakaran dapat dikawal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Tuaran, Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, terdahulu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.35 malam berhubung seorang mangsa yang dikhuatiri terperangkap dalam kebakaran rumah.

Katanya, seramai 14 anggota termasuk pegawai bergegas ke lokasi, berserta satu jentera dan satu kenderaan utiliti Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

“Pasukan bomba bertindak memadamkan api sehingga ia berjaya dikawal dan menemui seorang mangsa dalam keadaan rentung pada 11.57 malam,” katanya.

Mohd Qawie berkata, kebakaran terbabit memusnahkan 100 peratus struktur rumah jenis separuh kekal terbabit.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *