Hajiji Umum Bantuan RM1.85 Juta Untuk Pelajar Sabah Di Asia Barat

Hajiji Noor mengumumkan bantuan itu pada perhimpunan bersama pelajar Sabah yang menuntut di Asia Barat di Kaherah, Mesir semalam

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM1.85 juta bagi membantu meringankan beban lebih 200 pelajar dari Sabah yang kini menuntut di Mesir, Arab Saudi dan Jordan.

Ketua Menteri Hajiji Noor mengumumkan perkara itu pada perhimpunan bersama pelajar Sabah yang menuntut di universiti ketiga-tiga negara anjuran Yayasan Sabah di Kaherah, Mesir semalam.

Beliau berkata kerajaan negeri memahami kos sara hidup tinggi yang terpaksa dihadapi oleh pelajar terbabit serta memaklumkan bahawa Yayasan Kebajikan Sabah dan Yayasan Sabah akan menyelaras bantuan itu.

“Saya mahu anda semua (pelajar dari Sabah) kekal fokus pada pelajaran dan mengambil peluang ini untuk mempelajari al-Quran serta hadis secara mendalam. Memiliki pemahaman yang lebih mendalam akan mempertingkat nilai intelek anda yang akan menjadi aset apabila anda kembali untuk berkhidmat kepada negara,” menurutnya dalam kenyataan.

Pada majlis itu, Hajiji turut menyaksikan penyerahan RM10,000 untuk membeli buku bagi Perpustakaan Yayasan Sabah daripada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dan set Hadrah (sejenis instrumen muzik) bernilai RM4,000 daripada Perbadanan Baitulmal Sabah.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah turut menyumbang set komputer kepada Persatuan Pelajar Mesir.

Beliau turut minum pagi bersama pelajar terbabit sebelum berangkat ke Mekah untuk menunaikan umrah bersama isterinya Juliah Salag. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *