Petisyen Calon PH Ditolak, Shahelmey Kekal Ahli Parlimen Putatan

Shahelmey Yahya

KOTA KINABALU : Mahkamah Pilihan Raya Kota Kinabalu menerima bantahan awal dikemukakan Ahli Parlimen Putatan Shahelmey Yahya terhadap petisyen pilihan raya difailkan calon Pakatan Harapan (PH) Awang Husaini Sahari sebelum ini.

Keputusan itu mengekalkan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Putatan selepas memenangi kerusi itu pada PRU15, November lalu.

Menurut Berita Harian, keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Wong Siong Tung ketika prosiding dikendalikan melalui Zoom.

Wong turut menganugerahkan kos sebanyak RM10,000 kepada Shahelmey.

Sebelum ini, Awang Husaini memfailkan petisyen pilihan raya pada 29 Dis lalu bagi mengisytiharkan kemenangan Shahelmey di kerusi Parlimen Putatan pada PRU15 sebagai tidak sah.

Shahelmey yang juga Adun Tanjung Keramat memenangi kerusi Parlimen Putatan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU15 dengan majoriti tipis 124 undi.

Pertandingan empat penjuru di kerusi itu menyaksikan Shahelmey mendapat 16,234 undi, mengalahkan Awang Husaini yang mendapat 16,110 undi.

Dua calon lagi iaitu Awang Mohd Said daripada Warisan dan Patrick Payne (Pejuang), masing-masing mendapat 8,511 undi dan 394 undi.

Awang Husaini menamakan Shahelmey sebagai responden pertama, manakala pegawai pilihan raya dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masing-masing responden kedua dan ketiga.

Shahelmey yang juga menteri kerja raya Sabah kemudian memfailkan bantahan awal pada 13 Feb lalu untuk mengetepikan petisyen pilihan raya difailkan Awang Husaini.

SPR juga memfailkan permohonan sama pada tarikh berkenaan dan dibenarkan oleh mahkamah pada prosiding hari ini.

Shahelmey diwakili peguam Marzuki Spawi, Saiful Azian Mokhtar, Rizwandean M Borhan dan Hassan Murtaza, manakala Awang Husaini diwakili peguam Nelson Angang, Chua Kuan E dab Arthur Bonnie @ Borine.

Peguam Kanan Persekutuan, Nurhafizza Azizan pula bertindak bagi pihak responden kedua dan ketiga.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *