Wakil Rakyat PH Sabah Enggan Tarik Saman 40% Hasil Negeri

Ahli Parlimen Penampang Ewon Benedick, Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Adun Api-Api Christina Liew dan Phoong Jin Zhe (Luyang) memulakan saman pemula menuntut 40% hasil negeri terhadap kerajaan Sabah dan pusat.

KOTA KINABALU : Saman pemula berkait tuntutan 40% hasil negeri terhadap kerajaan Sabah dan persekutuan kekal diteruskan Ahli Parlimen dan Adun Pakatan Harapan (PH) negeri itu, kata peguam Nelson W Angang.

Katanya, kes itu akan disebut semula hujung bulan ini di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, namun tidak diketahui tarikh sebenar.

“Setakat ini kes masih lagi di mahkamah, seperti semua tahu kerajaan persekutuan masih berbincang mencari penyelesaian bersesuaian mengenai perkara ini, jadi plaintif (PH Sabah) tidak lagi menarik kes ini selagi keputusan belum dicapai, sebab itu ia masih dalam prosiding mahkamah.

“Hujung bulan, kita akan lihatlah apa yang berlaku pada statusnya, jika mahkamah kata mahu teruskan atau tidak. Tetapi, memang ketika ini semua plaintif tidak mahu menarik kes tersebut.

“Mahkamah beri ruang kepada semua pihak berbincang mencari penyelesaian, kalau tiada, jadi tunggu kes ini diteruskan atau tidak,” katanya menurut Utusan Malaysia.

Menurut laporan itu, Nelson berkata demikian sebagai maklum balas kemungkinan plaintif menarik semula kes itu memandangkan mereka kini berada dalam kerajaan persekutuan dan negeri.

Pada Jun tahun lalu, PH Sabah memulakan tindakan undang-undang dan menamakan kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kerajaan Sabah sebagai defendan kedua berhubung tuntutan 40% hasil negeri dikutip kerajaan persekutuan.

Turut hadir memfailkan saman itu antaranya Ahli Parlimen Penampang Ewon Benedick kini menteri pembangunan usahawan dan koperasi; Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin (timbalan menteri pertanian dan keterjaminan makanan); Adun Api-Api Christina Liew (menteri pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar Sabah) dan Adun Luyang Phoong Jin Zhe (menteri pembangunan perindustrian Sabah).

Semasa penggulungan perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2023, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Armizan Ali, berkata isu 40% hasil Sabah dikutip kerajaan persekutuan selaras Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan kurang wajar dibahas dalam sidang Dewan Rakyat.

Katanya, isu itu kini melibatkan hal perundangan yang dirujuk kepada mahkamah untuk diputuskan dan membincangkannya lebih lanjut dikhuatiri sebagai subjudis. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *