5 ADUN Umum Keluar UMNO Sabah Serta Merta, Sertai Gagasan Rakyat

Dari kiri: Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit), Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Hamid Awang (Balung).

KOTA KINABALU: Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO Sabah, hari ini mengumumkan keluar parti itu berkuat kuasa serta merta.

Mereka yang berbuat demikian terdiri daripada Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin); Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit); Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk); Datuk Hamid Awang (Balung) dan Datuk James Ratib (Sugut).

Namun, tindakan mereka bertindak keluar UMNO hanya mengurangkan jumlah ADUN parti itu tetapi tidak menjejaskan kedudukan kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Pengumuman itu dibuat lima ADUN berkenaan pada sidang media khas yang dipengerusikan Dr Yusof di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, sebentar tadi.

Serentak tindakan itu, lima ADUN berkenaan turut mengumumkan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang dipimpin Hajiji.

Kecuali Hamid, ADUN UMNO terbabit sebelum ini membelakangkan keputusan parti menarik sokongan kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri yang diumumkan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, bulan lalu.

Turut keluar UMNO dan menyertai Gagasan Rakyat ialah bekas ADUN Kemabong, Jamawi Jaafar dan beberapa pemimpin bahagian termasuk Timbalan Ketua Bahagian UMNO Semporna, Aziz Ibnu.

Turut mengumumkan menyertai Gagasan Rakyat ialah tiga ADUN Parti Warisan (WARISAN) yang mengumumkan keluar parti awal bulan ini.

Mereka ialah Norazlinah Arif (Kunak), Chong Chrn Bin (Tanjung Kapor) dan Mohammad Mohamarin (Banggi).

Beberapa pemimpin bahagian WARISAN termasuk dari Wilayah Persekutuan Labuan turut mengambil keputusan yang sama.

Sementara itu, Dr Yusof berkata, keputusan itu dibuat selepas beliau bersama semua rakan pemimpin lain memikirkan semasak-masaknya hala tuju politik mereka di Sabah.

Katanya, keputusan itu berdasarkan prinsip mentaati dan mematuhi titah Yang di-Pertuan Agong mengenai perlunya kestabilan politik dalam negara dan setiap negeri.

Beliau berkata, mereka turut memahami mengenai perlunya kerajaan negeri yang kuat dan stabil serta bersatu padu untuk mencapai pembangunan serta kemajuan Sabah.

“Kita juga menyedari bahawa pemimpin Sabah perlu bersatu di bawah parti berasaskan Sabah untuk terus memperjuangkan hak rakyat Sabah dan melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pada masa sama kita menginsafi bahawa perpecahan dan sengketa berpanjangan membantutkan pembangunan, kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Selain itu, kita juga memahami bahawa kestabilan politik adalah kunci utama keyakinan pelabur tempatan dan luar untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Sabah,” katanya.

Berikutan itu, katanya mereka mengisytiharkan sokongan sebulat suara kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan yang diterajuinya serta menyokong sebulat suara kepemimpinan Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinannya.

Mengenai tindakan UMNO terhadap mereka, Dr Yusof berkata mereka sudah menerima surat tunjuk sebab berikutan pendirian tidak menyokong keputusan UMNO Sabah menarik sokongan kepada kerajaan negeri pada awal bulan lalu.

“Kami tahu mungkin dihadapkan ke lembaga disiplin UMNO tetapi hari ini kami sudah membuat keputusan keluar parti.

“Keputusan ini adalah atas kerelaan kami kerana kami tidak mahu lagi begitu banyak krisis berlaku di Sabah sebab rakyat tidak mahu ia berlaku.

“Rakyat mahu harga barang turun, jalan raya mereka dalam keadaan bagus dan ada pembangunan berterusan. Jadi kami fikirkan ini tetapi setiap orang cara berfikir adalah berlainan,” katanya.

Pada Januari lalu, Dr Yusof bersama Jasnih, Mohd Arsad, James dan ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyatakan pendirian menolak keputusan UMNO Sabah menarik sokongan kepada Hajiji dan kerajaan GRS.

UMNO Sabah yang diketuai Bung Moktar dan WARISAN mempertikaikan keabsahan Hajiji selaku Ketua Menteri selepas keluar BERSATU pada Disember lalu dalam cubaan mereka untuk menukar kerajaan negeri.

Bagaimanapun, Perdana Menteri kemudian memberi restu kepada Hajiji kekal sebagai Ketua Menteri sebelum rombakan Kabinet negeri dibuat dengan memasukkan pemimpin yang menyokong GRS. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *