Dua Beradik Cedera Diserang Buaya Ketika Pasang Pam Air Di Pitas

Gambar Hiasan

PITAS : Lelaki parah manakala adiknya cedera ringan diserang buaya ketika memasang pam air dalam kejadian di Sungai Bengkoka, Kampung Sinasak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa berusia 53 tahun parah di kedua-dua kaki, tangan serta badan manakala adik lelakinya berusia 51 tahun cedera ringan di bahagian tangan kanan serta kaki kiri.

Difahamkan, ketika kejadian kedua-dua mangsa turun ke sungai berhampiran kediaman mereka untuk memasang pam air di sungai berkenaan bagi mengambil air untuk kegunaan harian.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Zairolnizal Ishak berkata, ketika kedua-dua mangsa membetulkan paip Polyvinyl Chloride (PVC) di dalam sungai yang pada ketika itu paras lutut.

Tanpa disedari seekor buaya berukuran kira-kira 2.4 meter menyerang dengan menggigit bahagian kaki salah seorang mangsa.

“Melihat kejadian itu, adiknya kemudian membantu menyelamatkan abangnya mengakibatkan dia turut digigit buaya berkenaan.

“Namun kedua-dua mangsa berjaya menyelamatkan diri sebelum dihantar ke Hospital Pitas oleh ahli keluarga mangsa yang menyedari kejadian itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa parah di kedua-dua kaki, tangan serta badan dan masih menerima rawatan di Hospital Pitas.

“Keadaan mangsa yang parah kini stabil dan akan dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Zairolnizal berkata, orang awam dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati ketika membuat aktiviti yang berhampiran sungai supaya kejadian sama tidak berulang kembali. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *