Tidak Mustahil Ada Lagi ADUN WARISAN Keluar Parti

KOTA KINABALU : Pemerhati politik di Sabah tidak menolak kemungkinan ada lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Parti Warisan (WARISAN) yang bakal meninggalkan parti itu berikutan tindakan terbaru tiga Adun parti berkenaan, semalam.

Pensyarah Kanan Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung berkata, perkara itu tidak mustahil berdasarkan pertimbangan bahawa setiap wakil rakyat mempunyai misi dan visi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pengundi.

“Saya percaya ia berkait rapat dengan hala tuju dan kepemimpinan parti berkenaan (WARISAN) serta misi dan visi Adun yang ingin memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengundi yang menaruh kepercayaan terhadap mereka.

“Setiap wakil rakyat terikat, malah terhutang budi dengan pengundi yang meletakkan harapan kepada mereka. Mereka perlu memikirkan cara terbaik untuk menunaikan janji pilihan raya mereka kepada pengundi yang mengundi mereka,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai tindakan terbaru tiga Adun WARISAN iaitu Mohamad Mohamarin (Banggi), Chong Chen Bin (Tanjung Kapor) dan Norazlina Arif (Kunak) yang mengumumkan keluar parti dan menyokong kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, semalam.

Ia menjadikan sembilan Adun sudah mengumumkan keluar WARISAN selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) pada September 2020 yang menyaksikan parti itu gagal mempertahankan tampuk pemerintahan negeri yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018.

Enam Adun yang sudah mengumumkan keluar WARISAN sebelum ini ialah Hassan A Gani Pg Amir (Sebatik), Datuk Dr Yusof Yacob (Sindumin), Datuk Mohamaddin Ketapi (Segama), Datuk Peter Anthony (Melalap), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Rina Jainal (Kukusan).

Berikutan itu, WARISAN kini hanya mempunyai 16 Adun, manakala sokongan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Hajiji bertambah kepada 47 ADUN termasuk tujuh Adun Pakatan Harapan (PH) dan lima Adun UMNO.

Sementara itu, Kuok Tiung menyifatkan perkembangan terbaru politik Sabah itu berikutan kegagalan Langkah Kinabalu atau cubaan WARISAN bersama UMNO Sabah menukar kerajaan negeri dengan mempersoalkan keabsahan Hajiji sebagai Ketua Menteri pada awal bulan lalu.

“Bukan semua wakil rakyat ingin asyik-asyik berpolitik sahaja. Ramai daripada mereka yang ingin fokus kepada mewakili suara-suara penduduk kawasan mereka dan memperjuangkan serta mempertahankan kepentingan mereka.

“Apa yang berlaku sudah pastinya akan memperkukuhkan kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.

Beliau berkata, perpaduan dan keharmonian negeri penting untuk membolehkan tumpuan dapat diberikan kepada perancangan dan pelaksanaan pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.

Katanya, aspek itu juga sangat penting kepada Sabah untuk berunding mendapatkan semula hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) daripada kerajaan Pusat.

“Andai kata asyik bergaduh sesama pemimpin-pemimpin Sabah, di mana dan bila mereka ada kesempatan untuk memikirkan soal memberi tekanan kepada kerajaan Pusat dalam soal tuntutan-tuntutan yang disuarakan selama ini,” katanya.

Dalam pada itu, Kuok Tiung berkata, kedudukan GRS ketika ini yang disertai sepenuhnya parti tempatan Sabah dengan penyertaan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang menggantikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sama seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) di negeri jiran.

“Langkah GRS itu sebenarnya didorong oleh hasrat membentuk Blok Borneo dengan GPS. Ia adalah langkah yang akan memperkukuhkan Sabah, Sarawak dalam Persekutuan Malaysia,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *