Noh Omar Digantung Keahlian UMNO Selama 6 Tahun

Noh Omar mengadakan sidang media selepas keahlian beliau digantung enam tahun.

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar digantung keahlian selama enam tahun menerusi keputusan dibuat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO, malam ini.

Noh berkata, perkara itu dimaklumkan menerusi ucapan mukadimah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam mesyuarat itu.

“Malam ini sejarah bagi saya apabila dalam ucapan mukadimah Presiden dah umum berapa ramai dipecat dan digantung dan dalam makluman itu, tiba-tiba nama saya tersenarai untuk digantung enam tahun.

“Kalau nak gantung enam tahun, baik pecat sahaja. Peraturan UMNO dah jadi hak individu, suka hati saja nak buat,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn, di sini, hari ini.

Katanya, beliau turut mencabar Ahmad Zahid supaya memecat keahliannya dari parti berkenaan dalam mesyuarat itu.

“Tiada sebab dinyatakan keahlian saya digantung sedangkan saya sepatutnya bertemu Lembaga Displin, Isnin ini.

“Saya beritahu lebih baik pecat sahaja. Yang lain-lain (Ahli Majlis Tertinggi) diam, namun presiden kata ‘okay.’ Dengan ini, saya dipecat serta merta,” katanya.

Semalam, Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada pilihan raya umum lalu.

Kenyataan itu secara tidak langsung memberi isyarat beberapa pemimpin bakal disingkirkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, malam ini.

Pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) yang lalu melalui usul tambahan diluluskan supaya tidak ada pertandingan bagi dua jawatan tertinggi parti, iaitu Presiden dan Timbalan Presiden. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *