Kes Rasuah Bung, Isteri Ditetap Sebutan 27 Mac

Bung Moktar Radin dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie Izette di Public Bank Cawangan Taman Melawati, Kuala Lumpur, pada 12 Jun 2015.

KUALA LUMPUR: Prosiding membela diri Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya, Zizie Izette Abdul Samad atas tiga pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen ditetapkan untuk sebutan pada 27 Mac ini susulan rayuan mereka di Mahkamah Rayuan.

Pasangan itu memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan mereka untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan kedua-duanya membela diri atas tiga pertuduhan tersebut.

Peguam M Athimulan mewakili Bung, memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob bahawa pengurusan kes terhadap rayuan itu di Mahkamah Rayuan telah ditetapkan pada 22 Mac, sementara menunggu rekod rayuan yang masih belum siap.

“Sehubungan itu, kami mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes ini untuk pihak-pihak memaklumkan mengenai perkembangan kes di Mahkamah Rayuan. Kami juga mohon kehadiran kedua-dua anak guam pada sebutan kes seterusnya dikecualikan,” kata peguam itu.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How mengesahkan perkara itu dan tidak membantah permohonan pembelaan untuk kehadiran kedua-dua tertuduh dikecualikan pada sebutan kes seterusnya.

Rozina menetapkan sebutan semula kes itu pada 27 Mac ini untuk pihak-pihak memaklumkan perkembangan kes di Mahkamah Rayuan dan membenarkan permohonan pihak pembelaan supaya kehadiran kedua-dua tertuduh dikecualikan.

Bung, 63, yang berkerusi roda kerana mengalami keretakan pada bahagian kaki hadir ke mahkamah bersama Zizie, 44.

Pada 3 Jan lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan Bung Moktar dan isterinya untuk menggantung perbicaraan membela diri, sementara menunggu rayuan mereka dilupuskan di Mahkamah Rayuan.

Pada 2 Sept 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan itu membela diri atas tiga pertuduhan rasuah selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Pada 3 Mei 2019, Bung didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung dituduh menerima rasuah daripada ejen Public Mutual, Madhi Abdul Hamid, menerusi Zizie di Public Bank Cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar di bawah nama Zizie atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015 manakala Zizie Izette berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *