Kerajaan Lulus Kemasukan 500,000 Pekerja Asing

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar

KUALA LUMPUR : Sejumlah 500,000 pekerja asing dibawa masuk ke negara ini secara berperingkat menerusi Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi mengatasi masalah kekurangan pekerja asing.

Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata, kemasukan pekerja asing itu khusus bagi lima sektor kritikal iaitu perkilangan, pembinaan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan (restoran).

“Mengikut data yang diberikan, saya dapati pekerja asing diperlukan oleh sektor kritikal buat masa ini adalah dalam lingkungan 500,000 orang.

“Bagaimanapun, kita (KSM) akan lihat sekiranya ada keperluan untuk menambah pekerja asing, kita akan tambah tapi ia tidak boleh melebihi 2.4 juta pekerja asing seperti diperuntukkan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Malam Gala Anugerah Pembangunan Sumber Manusia (HRD) Ke-20 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, malam tadi.

Sivakumar berkata, ketika ini, kumpulan pekerja asing sudah memasuki negara ini secara berperingkat dan dijangka lebih ramai akan dibawa masuk menerusi program berkenaan.

Terdahulu, beliau menerusi kenyataan memaklumkan pelaksanaan Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing bertujuan menyegerakan proses permohonan dan kelulusan penggajian pekerja asing dalam sektor kritikal.

Beliau berkata, majikan dalam kelima-lima sektor atau subsektor kritikal boleh mengemukakan permohonan penggajian pekerja asing di platform Foreign Worker Centralised Management System (FWCMS) di bawah Modul FWe Approval berkuat kuasa serta-merta.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, majikan akan dibenarkan untuk menggaji pekerja asing dari 15 negara sumber tanpa melalui prasyarat kelayakan penggajian serta kelayakan kuota.

Saifuddin dipetik berkata, beliau akan mengetuai siri lawatan bersama KSM dan agensi kawal selia ke 15 negara sumber terpilih bagi membincangkan perihal keselamatan dan kebajikan pekerja asing di negara ini.

Antara lain, lawatan itu dilakukan bagi memastikan objektif Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing dapat dicapai. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *