Calon PH Fail Petisyen Parlimen Putatan, Batal Keputusan PRU15

Pada PRU15, calon PH Awang Husaini Sahari kalah tipis 124 undi kepada calon BN Shahelmey Yahya dalam saingan empat penjuru.

KOTA KINABALU: Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari yang kalah tipis pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) lalu telah memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan di Parlimen tersebut.

Awang Husaini berkata, petisyen itu difailkan melalui peguamnya Nelson Anggang di Mahkamah Tinggi di sini pada 27 Dis 2022.

“Betul…saya sudah memfailkan petisyen berkenaan melalui peguam saya pada hujung tahun lalu,” katanya menurut Bernama.

Pada PRU15 lalu, calon Barisan Nasional (BN) Shahelmey Yahya menang dengan majoriti 124 undi dalam pertandingan empat penjuru.-ADVERTISEMENT-Ads by 

Shahelmey memperoleh 16,234 undi menewaskan Awang Husaini yang memperolehi 16,110 undi. Calon Warisan, Ahmad Mohd Said mendapat 8,511 undi manakala Pejuang, Patrick Payne hanya mendapat 394 undi sekaligus hilang deposit.

Parlimen Putatan antara tujuh petisyen yang difailkan selepas PRU15, 19 Nov lalu. Petisyen itu turut melibatkan Parlimen Gua Musang.

Selain Putatan dan Gua Musang, Parlimen Lubok Antu, Sandakan, Segamat, Tenom dan Tuaran turut dalam senarai petisyen.

Seksyen 38 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 menyatakan, petisyen pilihan raya mesti dikemukakan dalam tempoh 21 hari selepas keputusan pilihan raya diwartakan.

Terdahulu, Umno Terengganu memfailkan petisyen tiga Parlimen iaitu Marang, Kuala Terengganu dan Kemaman kerana mendakwa berlaku sogokan dan pemberian rasuah kepada pengundi.

Ketuanya, Ahmad Said berkata, petisyen pilihan raya itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 3 Jan lalu.

Ahmad mendakwa, wang sogokan yang diberikan pada 15, 16 dan 17 Nov, iaitu dua hingga empat hari sebelum PRU15 dengan kebanyakan isi rumah menerima Rm500 hingga RM1,000.

“Pada 15, 16 dan 17 Nov 2022, Perikatan Nasional menyalurkan dana i-siswa, i-belia dan i-pencen kepada pengundi di Terengganu termasuk pengundi luar yang balik mengundi,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *