Bantuan Tunai B40 Kini Sumbangan Tunai Rahmah, Bayaran Fasa 1 Mulai Esok – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

PUTRAJAYA: Pembayaran Fasa 1 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada 8.7 juta golongan B40 bernilai RM1.67 bilion, akan dikreditkan ke dalam akaun bank penerima berdaftar di pangkalan data STR secara berperingkat, mulai 17 Januari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata penerima STR di kawasan pedalaman, termasuk Sabah dan Sarawak yang mempunyai akaun bank atau tiada akaun bank akan turut menerima pembayaran itu pada tarikh sama.

“Penerima STR yang tiada akaun bank juga boleh membuat penunaian di Cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 Januari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semakan status pembayaran akan dibuka mulai 17 Januari dan maklumat lanjut berkaitan pembayaran boleh dirujuk melalui ruangan Soalan Lazim (FAQ) di Portal Rasmi STR melalui pautan

STR Fasa 1 membabitkan kategori penerima isu rumah berjumlah empat juta dengan kadar RM300, 1.2 juta warga emas tanpa pasangan (RM100), manakala 3.5 juta golongan bujang (RM100).

Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata program bantuan tunai untuk B40 di bawah Kementerian Kewangan itu dijenamakan semula kepada STR dan akan terus ditambah baik.

Beliau memutuskan supaya STR Fasa 1 untuk B40 diawalkan kepada Januari berbanding perancangan awal pada Mac depan bagi meringankan beban sara hidup rakyat.

“Kerajaan Perpaduan menekankan pendekatan rahmah dalam membela nasib rakyat susah, terutamanya golongan rentan dan mudah terjejas.

“Selaras dengan itu, kerajaan telah memperkenalkan konsep Payung Rahmah sebagai induk kepada inisiatif-inisiatif membantu golongan kurang berkemampuan dalam mendepani cabaran kos sara hidup,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *