Ambil Tindakan Terhadap Bung Kerana Cuba Rampas kuasa Di Sabah, Zahid Diberitahu

Penganalisis berkata, langkah Bung Moktar Radin di Sabah pada dasarnya mencerminkan kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi dalam Umno.

KUALA LUMPUR : Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mesti mengambil tindakan terhadap Bung Moktar Radin kerana mengetuai langkah Umno Sabah menarik balik sokongan kepada Ketua Menteri Hajiji Noor dalam percubaan merampas kuasa, kata seorang penganalisis.

Lee Kuok Tiung daripada Universiti Malaysia Sabah berkata, Bung pada dasarnya mencerminkan kepimpinan Zahid dalam Umno, justeru cubaan rampasan kuasa yang gagal itu boleh menjejaskan peluang Zahid dalam usahanya mempertahankan jawatan presiden Umno.

“Zahid harus mengambil tindakan tatatertib yang tegas terhadap mereka yang terlibat dalam usaha (menjatuhkan Hajiji) untuk menunjukkan beliau masih memegang kuasa dalam Umno,” kata Lee kepada FMT.

Jika rampasan kuasa itu berjaya, katanya, ia akan mengancam kedudukan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kerana apa yang berlaku di Sabah boleh mencetuskan kejatuhan kerajaan perpaduan. 

Hajiji mengetuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan. GRS dan Gabungan Parti Sarawak telah bersetuju untuk menyokong Anwar dan bersama-sama bergerak sebagai “blok Borneo”.

Lee berkata, Zahid mahupun Anwar tidak mampu untuk memberikan gambaran bahawa mereka menyokong usaha Bung dan Umno Sabah untuk merampas kuasa daripada pentadbiran sedia ada.

Sebaliknya, Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, Zahid kini perlu menyenangkan hati Bung untuk mengekalkan sokongan perwakilan Sabah sekiranya jawatan presiden Umno dipertandingkan.

Majlis Kerja Tertinggi Umno masih belum memutuskan sama ada dua jawatan tertinggi dalam parti itu perlu dipertandingkan pada pemilihan parti. Parti itu mesti mengadakan pemilihannya dalam tempoh enam bulan selepas PRU pada November.

Zahid berdepan gesaan untuk berundur selepas Barisan Nasional (BN) dan Umno menunjukkan prestasi buruk pada pilihan raya, tetapi katanya, beliau yakin dapat mengekalkan jawatan tertinggi itu jika dicabar.

Semalam, Hajiji mengumumkan barisan Jemaah Menteri Sabah yang baharu, menggugurkan pemimpin Umno yang menentangnya, termasuk Bung, yang juga timbalan ketua menteri dan menteri kerja raya; Jafry Ariffin; dan Yakub Khan.

Hajiji memberikan portfolio Bung kepada Shahelmey Yahya daripada Umno, dan menamakan Christina Liew (PKR) dan Phoong Jin Zhe (DAP) sebagai menteri.

Bung mendakwa rombakan Jemaah Menteri negeri bukanlah sesuatu yang Anwar mahukan sebagai kerajaan perpaduan di peringkat negeri, tetapi beliau akur dengan hasil daripada kemelut politik itu.

Pada Selasa, Zahid berkata, kerajaan perpaduan Sabah mesti melibatkan semua parti dalam kerajaan persekutuan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *