SPRM Tahan 6 Individu Termasuk 5 Penjawat Awam Di Semporna

Gambar Hiasan

SEMPORNA : Enam individu termasuk lima penjawat awam yang bertugas di sebuah jabatan di sini, ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), malam tadi.

Menurut sumber, suspek termasuk seorang lelaki yang disyaki sebagai orang tengah ditahan kerana dipercayai meminta wang rasuah kira-kira RM20,000 daripada seorang individu.

Sogokan supaya tidak mengambil tindakan ke atas anaknya yang disyaki melakukan kesalahan menyimpan kira-kira 100 kotak minyak masak bersubsidi disyaki untuk diseludup ke luar negara.

Sumber memberitahu, suspek berusia antara 29 hingga 50 tahun.

Mereka ditahan oleh pegawai SPRM selepas menerima sebahagian dari wang rasuah iaitu sebanyak kira-kira RM5,000 daripada orang awam berkenaan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Tambahnya, semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Sesyen Tawau di sini, untuk proses permohonan reman pada hari ini bagi tujuan siasatan lanjut. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *