Pakar Ekonomi Puji Hajiji Lepas Portfolio Kewangan

Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor melepaskan portfolio kewangan kepada Masidi Manjun berikutan rombakan Jemaah Menteri negeri semalam.

KOTA KINABALU : Dua pakar ekonomi memuji Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor atas tindakannya menyerahkan portfolio kewangan kepada Masidi Manjun dalam rombakan Jemaah Menteri negeri semalam.

Firdausi Suffian daripada UiTM Sabah dan bekas pegawai perbendaharaan Ramon Navaratnam berkata, tindakan ini mencerminkan tadbir urus yang baik di pihak Hajiji memandangkan kewangan adalah portfolio penting.

Firdausi berkata, pengasingan fungsi ketua menteri dan menteri kewangan akan memastikan semak dan imbang dalam urusan kewangan negeri.

“Ini membolehkan Hajiji memberikan tumpuan kepada keseluruhan pengurusan negeri,” katanya kepada FMT.

Firdausi Suffian.

“Beliau mungkin mempunyai lebih banyak urusan apabila kerajaan persekutuan mengagihkan lebih banyak kuasa kepada Sabah dan Sarawak, seperti yang dijangka.

“Di banyak negeri, ketua menteri atau menteri besar turut bertanggungjawab ke atas kewangan walaupun ini tidak selaras dengan amalan tadbir urus yang baik.

“Dari perspektif politik, ia suatu langkah bijak kerana ia akan membantu meredakan rasa tidak puas hati terhadap cara kementerian kewangan dikendalikan.”

Ramon, bekas timbalan ketua setiausaha perbendaharaan negara dan bekas ketua Transparency International Malaysia (TI-M), berkata tindakan Hajiji harus dicontohi oleh pemimpin lain.

Sambil menyatakan bahawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga memegang jawatan menteri kewangan, beliau berkata ini bermakna, pada dasarnya, tiada semak dan imbang.

Ramon Navaratnam.

“Walaupun alasannya mungkin bersifat politik, ia tidak baik untuk tadbir urus. Ini penumpuan kuasa,” katanya.

“Seorang ketua menteri, menteri besar atau perdana menteri tidak sepatutnya memegang portfolio kewangan yang mempunyai banyak kuasa,” katanya.

Hajiji merombak Jemaah Menteri Sabah semalam selepas hampir seminggu berlaku kemelut politik berikutan keputusan Umno Sabah menarik balik sokongan kepada ketua menteri.

Ini membawa kepada Ketua Umno Sabah Bung Moktar Radin digugurkan daripada Jemaah Menteri negeri, dan jawatan timbalan ketua menteri dan menteri kerja raya negeri yang dipegangnya diambil alih oleh ADUN Umno Tanjung Keramat Shahelmey Yahya.

Shahelmey adalah antara ADUN Umno yang enggan menarik balik sokongan untuk Hajiji.

Dalam rombakan Jemaah Menteri negeri itu, portfolio perumahan dan kerajaan tempatan yang sebelum ini dipegang Masidi kini diambil alih oleh seorang lagi Timbalan Ketua Menteri, Dr Joachim Gunsalam. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *