Hajiji Masih Layak Sebagai Ketua Menteri Sabah – GRS

Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menepis dakwaan Umno Sabah mengenai kedudukan Datuk Seri Hajiji Noor yang dikatakan tidak mempunyai ‘locus standi’ untuk terus menjadi Ketua Menteri selepas keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bulan lalu.

Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun berkata, kelayakan Hajiji untuk menyandang jawatan itu tidak terjejas memandangkan beliau bersama semua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bersatu adalah ahli langsung GRS.

“Majoriti jumlah Adun lebih daripada cukup dan ia (GRS) adalah parti politik terbesar dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.

“Jadi, tiada merit kepada dakwaan Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Datuk Seri Hajiji Noor tidak mempunyai locus standi (hak berdiri) untuk menjadi Ketua Menteri Sabah,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam tadi.

Kenyataan GRS itu menjawab dakwaan Bung Moktar yang juga Ketua Umno Sabah berhubung kedudukan Hajiji sebagai Ketua Menteri yang dikatakan sudah tidak lagi sah.

Dakwaan itu disuarakan Bung Moktar pada sidang medianya malam tadi untuk mengumumkan keputusan Umno dan Barisan Nasional (BN) Sabah menarik diri daripada kerjasama membentuk kerajaan negeri dengan GRS.

Masidi berkata, dakwaan Bung Moktar itu cuba menimbulkan keraguan dan kekeliruan terhadap kesahihan Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Katanya, Bung Moktar hanya merujuk Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah mengenai kepercayaan majoriti seorang ketua parti politik yang juga seorang Adun.

Beliau berkata, Perkara 6(7) itu merujuk kepada keadaan apabila parti politik memenangi majoriti kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), pemimpin parti itu dianggap menguasai majoriti.

Sebaliknya, beliau berkata, jika tiada parti menguasai majoriti atau lebih 50 peratus kerusi dalam DUN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah akan memilih seorang ahli Dewan yang difikirkannya mendapat kepercayaan majoriti mengikut Perkara 6(3) Perlembagaan Negeri.

Beliau memberi contoh takrifan ‘majoriti’ itu dalam kes Tan Sri Musa Aman lawan Tun Juhar & Anor [2019] 10 MLJ 329 di Mahkamah Tinggi dengan merujuk muka surat 345 dalam perenggan [28] dan [29] yang mana Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Yew Jen Kie menyatakan bahawa ‘majoriti’ tidak bermaksud ‘kerusi terbanyak’ tetapi lebih daripada 50 peratus kerusi dalam DUN.

“Datuk Yew Jen Kie seterusnya berkata Perkara 6(7) tidak akan terpakai melainkan sebuah parti politik berjaya memenangi lebih 50 peratus kerusi DUN dalam pilihan raya umum dan ia tidak berlaku pada 2018 (PRU-14).

“Pada PRU-14 tiada satu parti pun memenangi lebih daripada 50 peratus kerusi DUN dan oleh itu Perkara 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah tidak terpakai.

“Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Datuk Yew Jen Kie dalam Tan Sri Musa Aman lwn Tun Juhar & Anor [2020] 3 MLJ 49 seperti dinyatakan dalam muka surat 56, perenggan [17],” katanya.

Masidi berkata, ketika PRN16 pada 2020 juga tiada parti politik memenangi lebih 50 peratus daripada 73 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Oleh itu, katanya, berikutan tafsiran Perkara 6(7) oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan, TYT pertama sekali memerhatikan bahawa tiada parti politik memenangi lebih daripada 50 peratus kerusi DUN dan dengan itu mengabaikan Perkara 6(7) sebagai tidak terpakai.

“TYT kemudiannya menjalankan kuasanya dengan betul di bawah Perkara 6(3) dan melantik Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri.

“Oleh itu, Datuk Seri Hajiji Noor secara perlembagaan sah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri mengikut undang-undang dan mandat demokrasi rakyat Sabah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati kediaman Hajiji di Rumah Yayasan Sabah di Likas, malam tadi menjadi tumpuan berikutan banyak kenderaan dipercayai milik pemimpin GRS memasuki perkarangan rumah. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *