Hajiji Adakan Pertemuan Dengan Tun Juhar

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Seri Kinabalu di sini hari ini.

Kereta berwarna hitam dengan tanda nama ‘Ketua Menteri’ membawa Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), tiba di pintu istana pada  4.22 petang dalam cuaca hujan.

Kenderaan yang membawa Hajiji kemudian keluar dari Istana Seri Kinabalu pada 5.20 petang, serta beliau turut melambai sambil tersenyum kepada petugas media di pintu istana.

Semalam, Hajiji dalam kenyataan mengumumkan Kabinet kerajaan negeri akan dirombak, bagaimanapun perincian mengenai perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin semalam juga mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah, untuk menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukannya sebagai Ketua Menteri, selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional (PN) telah dilanggar.

Tiga ADUN daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), malam tadi turut percaya Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, tidak lagi mempunyai sokongan majoriti sebagai Ketua Menteri.

Sementara itu, hari ini lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) Sabah mengisytiharkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Hajiji sebagai Ketua Menteri Sabah.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik – 29 ADUN daripada GRS, Parti Warisan (19), BN (18), Pakatan Harapan (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tiga), manakala PAS, Parti Harapan Rakyat Sabah dan Bebas masing-masing satu kerusi. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *