Serah Kuasa Sabah, Sarawak Lulus Projek Hingga RM50 Juta Tanda Komitmen Persekutuan Terhadap MA63 – WARISAN

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU: Keputusan menyerahkan kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai tanda komitmen Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata keputusan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, hari ini adalah satu berita baik.

“Pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri hari ini mengenai keputusan kabinet berkenaan beberapa perkara berkaitan MA63 amat dialu-alukan.

“Antara perkara berkenaan adalah jaminan bahawa pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan akan ditingkatkan.

“Segala keputusan berhubung projek bernilai RM50 juta ke bawah di Sabah dan Sarawak diputuskan oleh negeri masing-masing.

“Ini adalah satu berita baik dan menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan sekarang untuk memartabatkan Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shafie turut menyatakan penghargaannya kepada Anwar berhubung keputusan terbabit.

“WARISAN mengucapkan terima kasih atas keprihatinan Perdana Menteri terhadap impian penduduk Sabah yang sudah lama ingin melihat MA63 dilaksanakan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *