Sabah, Sarawak Dibenar Tentukan Pelaksanaan Projek Prasarana Bawah RM50 Juta

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, terdapat kelewatan dalam pelaksanaan beberapa projek di negeri-negeri Borneo disebabkan birokrasi.

PUTRAJAYA: Kerajaan membenarkan Sabah dan Sarawak menentukan pelaksanaan sebarang projek prasarana bawah RM50 juta di negeri masing-masing, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar pada sidang mdeia berkata pihaknya maklum terdapat kelewatan dalam pelaksanaan beberapa projek di Sabah dan Sarawak meskipun sudah banyak wang diperuntukkan, kerana birokrasi.

Beliau berkata, walaupun Sabah dan Sarawak mempunyai Jabatan Kerja Raya (JKR) sendiri, banyak keputusan perlu dimuktamadkan di Putrajaya.

“Walaupun peruntukan besar diberikan, ia tidak digunakan sepenuhnya kerana norma kerajaan yang perlu merujuk kepada Putrajaya,” katanya.

“Kami kini memutuskan bahawa pelaksanaan projek infrastruktur di bawah RM50 juta akan diserahkan kepada Sabah dan Sarawak untuk dilaksanakan mengikut peraturan kewangan yang sepatutnya.

“Keputusan boleh dibuat di Kuching atau Kota Kinabalu tanpa sebarang kelewatan seperti sebelum ini.”

Anwar juga berkata, beliau akan mempengerusikan mesyuarat di Kuching mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjelang akhir bulan ini.

Mesyuarat itu akan dihadiri Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor.

Antara topik utama yang akan dibincangkan ialah pemberian khas untuk Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perkara 112 (D) Perlembagaan Persekutuan.

“Sabah mula-mula diberi RM16 juta dan Sarawak RM25 juta, dan ia sepatutnya disemak setiap lima tahun, tetapi ini tidak dilakukan,” katanya.

“Disebabkan itu, kita kena pastikan ada pertambahan yang sewajarnya dalam peruntukan ini.

“Ini adalah sesuatu yang telah dihidupkan semula baru-baru ini, dan saya akan cuba memuktamadkan ini semasa pertemuan saya dengan premier (Sarawak) dan (ketua menteri) Sabah.”

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *