Hajiji Dapat Sokongan Majoriti Besar, Kami Sedia Buktikan – Masidi

Suasana dan kedudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan dan pelaburan, kata Setiausaha Agung GRS Masidi Manjun.

KOTA KINABALU : Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersedia membuktikan keabsahan sokongan ADUN Sabah kepada Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri, kata Setiausaha Agungnya Masidi Manjun.

Beliau berkata ini kerana difahamkan ada pihak tertentu mendakwa telah memperoleh sokongan lebih separuh daripada ADUN Sabah untuk membolehkan kumpulan ini menubuh sebuah kerajaan negeri yang baharu.

Katanya, Hajiji telah menerima perakuan dan sokongan majoriti besar ADUN Sabah untuk terus memimpin kerajaan negeri masa ini termasuk sokongan daripada tujuh ADUN Pakatan Harapan (PH).

“Kami bersedia membuktikan keabsahan sokongan tersebut kepada pihak berwajib apabila dan sekiranya perlu.

“Suasana dan kedudukan politik di Sabah kekal stabil dan selamat untuk urusan perniagaan dan pelaburan,” katanya menurut laporan Bernama.

DUN Sabah mempunyai 79 ADUN, iaitu 73 ADUN yang dipilih dan enam ADUN dilantik.

Kerajaan Sabah pada masa ini mempunyai sokongan 59 ADUN iaitu 29 daripada GRS, Barisan Nasional (17), PH (tujuh), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tiga), masing-masing satu dari Parti Bangsa Malaysia serta Parti Harapan Rakyat Sabah, dan seorang ADUN Bebas. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *