Rosdi Dilantik Ketua JSPT Sabah Baharu

Zamzuri (kiri) menyerahkan dokumen serah tugas kepada Rosdi sambil disaksikan Jauteh pada Majlis Serah Terima Tugas KJSPT Sabah.

KOTA KINABALU : Bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Superintendan Rosdi Mat Jusoh dilantik sebagai Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah yang baharu, berkuat kuasa hari ini.

Pelantikan itu menyaksikan pertukaran jawatan bersama Ketua JSPT sebelum ini, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Nin Mohd Isa yang kini bertugas sebagai Ketua Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Perak bermula 28 Disember lalu.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, di sini.

Jauteh berkata, beliau yakin dan percaya Mohd Zamzuri akan berjaya mengorak langkah ke arah kecemerlangan perkhidmatan demi mencapai visi dan misi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya amat kagum dengan prinsip, kesungguhan dan komitmen yang dicurahkan dalam menjalankan tugas serta tanggungjawab sepanjang beliau (Mohd Zamzuri) memegang jawatan Ketua JSPT Sabah.

“Seluruh warga PDRM Sabah merakamkan terima kasih atas segala jasa dan pengorbanan beliau dalam menjalankan amanah yang diberikan,” katanya.

Katanya, beliau turut mengucapkan tahniah kepada Rosdi yang kini memimpin JSPT Sabah.

“Saya yakin beliau dapat meneruskan legasi dan memperkasakan JSPT Sabah,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *