Bicara Kes Rasuah Bung, Zizie Ditangguh Sementara Tunggu Rayuan

Timbalan Ketua Menteri Sabah Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Izette, berdepan pertuduhan rasuah berhubung penerimaan hampir RM2.5 juta pada 2015.

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isteri, Zizie Izette, diberikan penangguhan sementara daripada membela diri atas tuduhan rasuah dan bersubahat selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan perbicaraan sementara menunggu keputusan rayuan mereka ke Mahkamah Rayuan.

Pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan pasangan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Sophian Zakaria memaklumkan mahkamah pihak pendakwaan tidak membantah permohonan untuk penangguhan.

Bung dijadual memulakan sesi membela diri dengan memberi keterangan, pagi tadi.

Keputusan itu mendorong Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayob, yang mempengerusikan perbicaraan, menetapkan sebutan semula kes pada 27 Jan, sementara menunggu prosiding di Mahkamah Rayuan dijadualkan dua hari sebelum itu.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, yang hadir bersama Sophian, berkata seorang timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan dijangka menetapkan tarikh pendengaran rayuan apabila perkara itu dibangkitkan bagi pengurusan kes, pada 25 Jan.

Awal bulan lalu, pasangan itu memfailkan rayuan masing-masing ke Mahkamah Rayuan selepas Azhar menolak permohonan mereka mencabar perintah diputuskan Rozina yang mengarahkan mereka membela diri, pada 2 Sep.

Azhar membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan dan berpendapat, Bung dan Zizie salah memfailkan usul, disokong oleh afidavit untuk memohon semakan keputusan Rozina.

Pihak pendakwaan menegaskan pasangan itu sepatutnya meminta semakan melalui surat kepada Mahkamah Tinggi.

Bung yang juga timbalan ketua menteri Sabah, didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai suapan semasa beliau menjadi pengerusi Felcra.

Dia didakwa berbuat demikian untuk mendapatkan kelulusan Felcra, membuat pelaburan unit Public Mutual berjumlah RM150 juta, pada Jun 2015. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *