Sabah Muktamad SOP Pelancong China Esok

Sabah sangat bergantung kepada pelancong China, yang membentuk hampir separuh daripada ketibaan antara 2017 dan 2019.

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan memuktamadkan SOP untuk pelancong dari China esok, kata Ketua Menteri Hajiji Noor.

“Kami akan mengadakan mesyuarat Jemaah Menteri negeri esok untuk membincangkan isu itu. Sebelum itu, saya tidak boleh ulas lanjut,” katanya kepada pemberita selepas satu majlis.

Sabah sangat bergantung kepada pelancong China, yang membentuk hampir separuh daripada ketibaan antara 2017 dan 2019.

Negeri itu menjangkakan lonjakan kemasukan pelancong China di mana kes Covid-19 telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Pada 30 Dis, jurucakap Covid-19 Sabah, Masidi Manjun berkata, pelancong dari China perlu menunjukkan keputusan negatif bagi ujian Covid-19 yang diambil dalam tempoh 48 jam sebelum melakukan perjalanan ke negeri itu.

Bagaimanapun, kenyataan itu ditarik balik beberapa jam kemudian kerana arahan itu masih belum disahkan oleh Jemaah Menteri Sabah.

Sementara itu, Hajiji berkata, Jemaah Menteri negeri juga akan membincangkan cadangan supaya Bahasa Inggeris diiktiraf sebagai bahasa rasmi di Sabah bersama-sama Bahasa Malaysia.

Semalam, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee berkata, Sabah harus mencontohi Sarawak dalam menerima pakai penggunaan Bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa rasmi di Sabah.

Hajiji juga berkata, Jemaah Menteri negeri akan membincangkan cadangan melombong dan mengorek pasir laut kira-kira 55km dari Kota Kinabalu.

Bawah cadangan membabitkan Handal Energy Bhd dan Tanjung Aru Eco Development (TAED) Sdn Bhd, pasir itu akan digunakan untuk menebus sebahagian besar kawasan pinggir laut Tanjung Aru.

Terdahulu, Hajiji menyerahkan bantuan tunai kepada 36 ketua isi rumah di Kampung Tanjung Aru Baru yang rumah mereka rosak atau musnah akibat air pasang besar baru-baru ini.

Tiga keluarga menerima RM21,000 setiap satu untuk membina semula kediaman mereka, manakala 33 keluarga lagi menerima RM11,000 setiap satu untuk membantu kerja-kerja pembaikan rumah.

Hajiji berkata, kerajaan negeri juga akan membantu kira-kira 200 mangsa air pasang besar di Kampung Forest, Sandakan.

Katanya, mangsa tidak mahu membina semula rumah di situ dan kerajaan kini sedang mencari kawasan sesuai untuk menempatkan mereka. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *