Wakil Rakyat Sokong GST Dilaksanakan Semula

KUALA LUMPUR: Beberapa wakil rakyat kerajaan menyokong langkah untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) walaupun ada antara mereka yang lantang membantah pelaksanaan cukai itu sebelum ini.

Mereka berpendapat, pengenalan semula cukai itu menerusi Bajet 2023 dapat membantu menambah hasil kerajaan, namun mencadangkan kadarnya direndahkan daripada enam peratus kepada tiga atau empat peratus.

Ahli Parlimen Pasir Gudang daripada Pakatan Harapan (PH), Hassan Abdul Karim, sebelum ini membantah pelaksanaan GST dengan menyifatkan ia sebagai zalim.

Namun kini, menyokong jika ia dilaksanakan semula tahun ini kerana mengambil mengambil kira masalah kewangan negara, hutang negara yang besar dan bajet defisit.

“Saya antara Ahli Parlimen yang lantang membantah GST pada waktu itu, tetapi bersikap agak terbuka sekarang. Bukan menjilat ludah tetapi saya pun tak mahu negara berhutang untuk pembangunan.

“Maka, saya terbuka untuk kerajaan memikirkan semula langkah ini jika ia dilihat boleh membantu kerajaan. Tetapi, kadarnya mesti direndahkan kepada lingkungan tiga atau empat peratus, jangan lebih,” katanya kepada BH.

Beliau juga menyarankan untuk kerajaan melaksanakan cukai kekayaan atau ‘Wealth Tax’ kepada golongan korporat kaya, tetapi pada kadar rendah supaya tidak menjejaskan perniagaan mereka.

Beliau mengulas laporan BH hari ini, yang memetik syor dan jangkaan penganalisis ekonomi bahawa tumpuan Bajet 2023 terarah usaha kerajaan untuk menambah hasil, apabila terdapat kemungkinan keperluan memperkenalkan cukai baharu, termasuk mengembalikan GST.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata kerajaan perlu mencari hasil tambahan, sama ada mengekalkan Cukai Makmur atau melaksanakan semula GST yang ditamatkan pada 2018.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, yang lantang mengkritik pelaksanaan cukai itu dulu, enggan mengulas kerana menyifatkan ia isu sensitif berikutan membabitkan dasar.

“Ini isu dasar, mana boleh saya cakap walaupun pandangan peribadi. Apa pun, bagi Menteri Ekonomi (Rafizi Ramli) dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), jalankan tugas kerana kita lantik mereka untuk berperanan,” katanya.

Ahli Parlimen Subang yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Wong Chen, juga senada dengan Dr Dzulkefly, bimbang pandangannya disalah tafsir.

“Saya tak nak cakap benda lain dan menteri cakap benda lain. Dulu kita pembangkang, bolehlah. Kena faham, nanti saya dapat masalah.

“Pandangan peribadi pun tak boleh kerana pertamanya, saya tak ada data walaupun Ahli Parlimen kerajaan. Nanti, kalau cakap benda Menteri Kewangan (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tak gembira, susah . Kita kena lihat macam united (bersatu),” katanya.

Mengulas isu itu, Ahli Parlimen Jelebu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Jalaludin Alias, konsisten dengan pendiriannya supaya sistem percukaian yang adil dan telus itu dilaksanakan semula bagi membantu kerajaan menambah hasil kepada negara.

Beliau turut senada dengan Hassan apabila mencadangkan cukai itu ditetapkan pada kadar lebih rendah.

“Dari segi peratusan, boleh tengok semula mengikut keadaan semasa. Bagi saya, tiga peratus memadai. Kita kena belajar daripada kesilapan kita lalu. Dahulu, kita kenakan GST pada kadar terlalu tinggi sehingga membebankan pembayar cukai,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik đŸ‘‰ https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *