Ikut Pengalaman Anwar Tak Mampu Urus Negara, Kata Dr M

Anwar Ibrahim disifatkan Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak berupaya berdepan krisis kewangan 1997/1998.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad tidak yakin terhadap keupayaan Anwar Ibrahim memimpin negara untuk berdepan krisis kemelesetan ekonomi, termasuk pemulihan pasca pandemik.

Bekas perdana menteri itu, berkata beliau khuatir dengan kemampuan Anwar menghasilkan strategi dan kaedah terbaik untuk keluar daripada krisis, memandangkan fokus pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dilihat tertumpu kepada usaha mengekalkan jumlah sokongan di Dewan Rakyat

Katanya, dakwaannya terbukti berdasarkan prestasi Anwar ketika berada dalam kerajaan lebih 20 tahun lalu dan mendakwa bekas timbalannya itu tidak dapat menangani masalah ketika menjadi pemangku perdana menteri, pada 1997.

Selain itu, beliau mendakwa Anwar yang juga selaku menteri kewangan ketika itu, gagal mencari jalan penyelesaian apabila krisis kewangan melanda dan lebih rela mengikut pendapat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia, yang dikatakan berisiko menyebabkan Malaysia muflis.

“Pada masa saya jadi perdana menteri kali pertama, saya pergi cuti selama dua bulan. Semasa saya cuti, Anwar sebagai timbalan perdana menteri (TPM), diberi tanggungjawab sebagai pemangku perdana menteri, tetapi nampak dia tak dapat menangani masalah.

“Selepas itu pula, berlaku krisis kewangan yang mana ringgit Malaysia turun nilainya. Pada masa itu, Anwar juga menjadi menteri kewangan.

“Cara dia menangani masalah kejatuhan nilai ringgit itu dengan mengikuti pendapat IMF dan Bank Dunia. Saya berpendapat, kalau kita ikut IMF dan Bank Dunia, kita akan jadi muflis dan kita tak dapat laksanakan dasar ekonomi negara kita.

“Tetapi, Anwar tak ada cadangan yang lain selain daripada mengikuti IMF dan Bank Dunia, sebab itu saya terpaksa ambil alih tugas Kementerian Kewangan, saya cari jalan untuk selamatkan negara,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Berita Harian.

Mahathir berkata, jika dibenarkan Anwar berkuasa dan melaksanakan dasarnya, beliau yakin negara tidak akan dapat mengatasi masalah krisis kewangan ketika krisis berkenaan.

Perdana menteri keempat dan ketujuh itu mengakui khuatir dengan kebolehan Anwar sebagai perdana menteri kerana berdasarkan pengalaman lampau, presiden PKR itu gagal merangka penyelesaian ketika berdepan krisis kewangan 1997/1998, apatah lagi kini berdepan lebih banyak masalah rumit.

“Ketika itu, nampak dia tidak dapat cipta satu cara untuk mengatasi krisis. Sama ada di masa hadapan, dia boleh cipta cara menangani masalah negara, belum kita dapat tentukan.

“Tetapi berdasarkan pengalaman semasa dia jadi TPM (dan) menunjuk kebolehannya, saya khuatir. Sekarang ini negara menghadapi banyak masalah seperti kesan pandemik, ekonomi merosot teruk, keadaan politik tidak stabil. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *