Kereta Terjunam Dalam Pusat Beli-Belah Di Asia City

Keadaan Toyota Vios yang terjunam di sebuah kompleks beli-belah.

KOTA KINABALU : Dua individu cedera ringan selepas kereta dinaiki mereka dipercayai terbabas lalu melanggar tembok di tingkat tiga sebelum terjunam ke tingkat dua di sebuah kompleks beli-belah di Asia City, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, mangsa lelaki berusia 24 tahun dan wanita berusia 30 tahun yang cedera ringan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu jam 10.56 pagi.

Katanya, sepasukan bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi berkenaan .

“Laporan memaklumkan terdapat sebuah Toyota Vios terbabas di tingkat tiga tempat letak kereta lalu melanggar tembok dan terjunam ke tingkat dua.

“Terdapat dua mangsa terbabit dan keluar sendiri dari kereta berkenaan serta mengalami cedera ringan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba bertindak menjalankan pemeriksaan untuk memastikan tiada lagi bahaya lain dan memasang sawar-sawar di lokasi kejadian.

“Mangsa dihantar ke hospital menggunakan ambulans dan operasi tamat pada 11.59 pagi,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *