MA63: Kerajaan Umum Perkara Dipersetujui Pada 4 Jan, Kata TPM

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof diberi peranan memastikan jurang ekonomi antara rakyat di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak dikurangkan.

KUCHING: Kerajaan akan mengumumkan beberapa perkara dipersetujui berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada 4 Jan depan, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat mingguan Jemaah Menteri pada hari berkenaan.

Buat masa ini, jelasnya, jawatankuasa teknikal MA63 sedang meneliti dan memuktamadkan beberapa perkara, termasuk penurunan kuasa kepada agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Fadillah berkata, terdapat beberapa perkara di luar bidang MA63 yang telah diminta oleh Sabah juga Sarawak untuk dipertimbangkan kerajaan persekutuan.

“Selain itu, ada beberapa perkara berkaitan MA63 yang perlu melibatkan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan akan mengambil masa untuk diselesaikan.

“Untuk perkara itu, kita perlu tunggu persidangan Parlimen untuk dibentangkan dan diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan biskut sempena perayaan Hari Krismas di sini.

Pada 5 Dis, Anwar berkata, Fadillah yang juga menteri perladangan dan komoditi dipertanggungjawabkan untuk memfokuskan hal ehwal Sabah dan Sarawak terutamanya MA63.

Fadillah juga berperanan memastikan jurang ekonomi antara rakyat di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan dikurangkan.

Pada 21 Dis, Anwar berkata, kerajaan bersetuju memindahkan kuasa mengawal selia bekalan gas di Sabah kepada kerajaan negeri berkenaan.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan MA63. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *