Keluarga Kristian, Islam Boleh Sebumbung Di Sarawak; GPS Ikrar Tolak Fahaman Lampau

Abang Johari Openg berkata, Sarawak terkenal dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama, namun tidak menghadapi masalah untuk bersatu dalam kepelbagaian.

KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memelihara kebebasan beragama dan menolak unsur ekstremisme yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama.

Pengerusi gabungan pemerintah itu, Abang Johari Openg berkata Sarawak sememangnya terkenal dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan agama, namun tidak menghadapi masalah untuk bersatu dalam kepelbagaian.

Katanya, di Bumi Kenyalang juga, terdapat keluarga beragama Kristian dan Islam yang boleh hidup di bawah satu bumbung tanpa menghadapi sebarang masalah.

“Kita di Sarawak bertuah kerana agak terlindung daripada persengketaan agama dan kaum yang sering berlaku di tempat-tempat lain.

“Kuasa autonomi imigresen kita mampu menyekat pelampau-pelampau agama untuk menjejakkan kaki di Sarawak,” katanya sempena Hari Natal.

Johari berkata Sarawak tidak kalis sepenuhnya daripada unsur-unsur ekstremisme yang memasuki negeri itu melalui saluran siber seperti media sosial yang biasanya digunakan untuk kepentingan politik pihak tertentu.

“Benteng kita daripada anasir ini hanyalah kebijaksanaan kita sendiri untuk menapis yang baik daripada yang jahat dan yang fakta daripada yang ‘auta’,” katanya.

Johari memberi komitmen GPS akan terus memperjuangkan kepentingan dan hak Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963.

“Pembentukan GPS merupakan langkah baik untuk memastikan suara Sarawak tidak tenggelam di persada nasional. Tidak ada orang lain yang lebih ikhlas daripada orang Sarawak sendiri dalam perjuangan menegakkan keadilan bagi Bumi Kenyalang,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *