Sabah Negeri Terbaru Terjejas Banjir

Seramai 223 daripada 52 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Pitas sejak pagi tadi sebagai langkah berjaga-jaga akibat fenomena air pasang besar.

KUALA LUMPUR : Sabah menjadi negeri terbaru terjejas banjir dengan seramai 236 mangsa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan sementara (PPS), menyertai empat negeri lain, manakala dua lagi negeri iaitu Selangor dan Pahang pulih sepenuhnya, setakat 4 petang ini.

Di Sabah, seramai 13 orang daripada lima keluarga dipindahkan ke PPS dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, Kota Belud yang dibuka sejak 2 petang tadi, akibat banjir yang melanda Kampung Song-Song, Kampung Donggoi dan Kampung Marajah di daerah itu.

Manakala seramai 223 lagi daripada 52 keluarga, dipindahkan ke dua PPS di Pitas sejak pagi tadi sebagai langkah berjaga-jaga akibat fenomena air pasang besar.

Di Sarawak, setakat 3 petang ini, Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 305 berbanding 139 pagi tadi dan dua lagi PPS baharu dibuka, iaitu di Dewan Masyarakat Ladong, Sebuyau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baru, Samarahan.

PPS baharu itu masing-masing menempatkan 53 dan 64 mangsa, menjadikan jumlah PPS di Sarawak kini enam termasuk Balai Raya Kampung Opar dan Balai Raya Kampung Jugan di Bau, serta Dewan Kampung Bedaun, Santubong dan Dewan Suarah Kota Samarahan, Samarahan.

Di Perak, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 51 orang membabitkan 13 keluarga yang berlindung di dua PPS termasuk dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abd Rahman Talib di Hilir Perak yang menempatkan 37 mangsa daripada tujuh keluarga.

Sementara di PPS SK Sungai Tiang Darat, Bagan Datuk jumlah mangsa berkurangan daripada 26 mangsa daripada 12 keluarga pagi tadi, kepada 14 mangsa daripada enam keluarga.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Segamat, Johor berkurangan kepada 34 orang daripada 11 keluarga, susulan penutupan sebuah PPS iaitu dewan komuniti Kampung Tasek, 1 tengah hari tadi.

Di Kelantan, seramai 18,924 mangsa banjir daripada 6,182 keluarga berlindung di PPS petang ini, berkurangan berbanding 24,297 mangsa banjir daripada 7,623 keluarga pada pagi tadi.

Sekretariat JPBN memaklumkan kesemua mangsa ditempatkan 53 PPS di enam jajahan membabitkan Pasir Mas, Tanah Merah,Pasir Puteh, Kota Bharu, Bachok, dan Tumpat.

Di Terengganu, jumlah mangsa banjir juga menurun daripada 25,895 pagi tadi, kepada 23,634 dan kesemuanya ditempatkan di 153 PPS yang beroperasi di semua lapan daerah.

Di Selangor, dua PPS yang dibuka sejak malam tadi di SK Merbau Sempak, Shah Alam dan dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Desa Coalfield, Kuala Selangor ditutup sepenuhnya 2 petang tadi, manakala di Pahang, PPS terakhir di SK Sungai Ular, Kuantan yang menempatkan 23 mangsa daripada enam keluarga ditutup pada 4 petang ini. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *