4 Ahli Parlimen Sabah Bertanding Atas Tiket GRS, Kata Kitingan

Ahli Parlimen Keningau,Jeffrey Kitingan berkata, status empat Ahli Parlimen Sabah itu tidak harus dipertikaikan kerana mereka ahli GRS ketika penamaan calon bukannya ahli Bersatu.

KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen Sabah yang keluar Bersatu tidak melompat parti kerana mereka bertanding dalam PRU 15 atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Jeffrey Kitingan (GRS-Keningau) menegaskan status Ahli Parlimen mereka tidak harus dipertikaikan dan menambah keempat-empat mereka itu menerima surat watikah untuk menjadi calon daripada GRS, bukannya Bersatu.

Empat Ahli Parlimen itu adalah Armizan Ali (Papar), Khairul Firdaus Akhbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Menjelaskan bagaimana mereka menjadi ahli GRS pada 27 Okt lalu itu, Kitingan berkata, keahlian mereka dalam Bersatu secara automatik terbatal kerana klausa dalam perlembagaan Bersatu menyatakan keahlian mana-mana ahli dibatalkan serta-merta sekiranya mereka menyertai parti lain.

“Ini bermakna Ahli Parlimen ini adalah ahli GRS pada hari penamaan calon dan bukannya ahli Bersatu. jadi tiada isu (melanggar undang-undang anti-lompat parti).

“Undang-undang anti-lompat parti hanya terpakai kepada Ahli Parlimen yang dilantik atas tiket satu parti dan pergi ke parti lain,” katanya ketika membahaskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat.

Kitingan berkata, kini tidak boleh lagi “diheret ke sana dan ke sini” oleh pemimpin parti dari semenanjung, kerana ia kini parti 100% Sabah.

“Kami mahu menentukan nasib kami sendiri dan akan menyokong mana-mana parti dan perdana menteri yang memberi perhatian kepada isu dan hak Sabah dan Sarawak,” katanya.

Terdahulu, Ronald Kiandee (PN-Beluran) menggesa undi percaya itu ditangguhkan selama 21 hari bagi membolehkan status empat Ahli Parlimen Sabah itu disemak mengikut undang-undang anti-lompat parti.

Beliau menegaskan empat Ahli Parlimen itu adalah ahli Bersatu ketika dinamakan sebagai calon, merujuk kepada surat Bersatu Sabah kepada presiden parti Muhyiddin Yassin sebelum PRU15.

Dalam surat berkenaan, Bersatu Sabah memaklumkan kepada Muhyiddin bahawa mereka meletakkan enam calon dalam PRU15 atas tiket GRS. Kiandee berkata, ini adalah bukti empat Ahli Parlimen GRS itu sebenarnya calon Bersatu. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *