Hamzah Baca Tajuk Berita Tuduh Anwar ‘Homoseksual’, Dikecam Wakil Rakyat PH

Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dibidas wakil rakyat PH kerana membacakan ‘fitnah’ terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin dikecam wakil rakyat Pakatan Harapan di Parlimen sebentar tadi selepas beliau membaca tajuk berita negara asing, yang menggelar Perdana Menteri Anwar Ibrahim seorang “homoseksual”.

Ketika negara menantikan usul undi percaya terhadap Anwar (PH-Tambun) sebagai perdana menteri kerajaan perpaduan selesai, pemimpin Bersatu itu membacakan kepada Dewan Rakyat tajuk berita daripada laman berita picisan dari Itali, Agenzia Nova, itu.

Tindakan Hamzah (PN-Larut) bagaimanapun mengundang kecaman daripada wakil-wakil rakyat PH, yang mahu beliau menarik balik kenyataan itu.

“Dengar lah dulu!” jawab Hamzah.

“Dia (Agenzia Nova) menghina perdana menteri. Tindakan tegas harus kita ambil. Kerajaan bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada seluruh dunia bahawa Tambun sudah pun diberi pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Hamzah seterusnya berkata Umno juga sudah menerima Anwar sebagai perdana menteri selepas pengampunan itu.

“Tak menjadi masalah. Saya pun bersetuju dan kita ucapkan tahniah kepada Tambun sebagai perdana menteri.”

Lim Guan Eng (PH-Bagan) ketika gilirannya membidas Hamzah kerana menyalahgunakan peluang dan ruang berbahas untuk membacakan “fitnah” terhadap Anwar.

Katanya, ucapan Hamzah kedengaran seperti beliau ingin membela integriti dan nama baik perdana menteri tetapi ada maksud tersembunyi di sebalik perbuatannya itu.

Tegasnya, Hamzah membacakan tuduhan oleh laman media yang tidak pernah didengari berkenaan “tingkah laku yang kita tahu adalah satu fitnah yang amat jahat”.

“Kononnya untuk bela perdana menteri tapi sebenarnya ada udang sebalik batu. Ini perbuatan yang amat jahat sekali kerana anda membuat serangan secara peribadi, secara halus, dan tidak harus dilakukan.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *