Guru Sabah Terima Anugerah Ikon Belia Karismatik Negara

KOTA KINABALU : Dr. Sirhajwan Idek, guru bahasa Inggeris Kolej Vokasional Keningau, telah dipilih sebagai penerima Ikon Belia Karismatik kebangsaan oleh Kementerian Belia dan Sukan yang diumumkan di majlis Anugerah Perdana Belia Negara pada 17 Disember 2022.

Anugerah tersebut merupakan salah satu daripada 15 anugerah yang disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, di Hotel Sama-Sama, Sepang, untuk mengiktiraf pencapaian golongan belia di Malaysia.

Cikgu Sirhajwan menerima wang ringgit berjumlah Ringgit Malaysia 10,000.00, trofi dan sijil. Beliau telah melalui proses pemilihan dan penilaian daripada 20 calon yang telah disenarai pendekkan dari ratusan permohonan sebelum mara ke peringkat tiga finalis terbaik dan akhirnya diumumkan sebagai pemenang.

Dr. Sirhajwan menerima pengiktirafan ini atas sumbangannya dalam pelbagai aspek bidang pendidikan. Sejak tahun 2016, dia telah melatih dan mengurus hampir 500 para pelajarnya untuk membentang projek mereka di pertandingan inovasi dan persidangan secara bersemuka dan dalam talian.

Ramai diantara pelajar ini yang telah berjaya memdapat anugerah dan geran. Selain itu, dia juga telah berjaya memperbudayakan amalan seni dengan membimbing lebih 200 pelajar dalam bidang seni persembahan, penulisan dan visual dengan menggunakan Bahasa Inggeris sebagai pengantara sejak penghujung tahun 2020.

Dia sentiasa membantu pelajar-pelajar berkeperluan khas di kolej itu untuk menyertai pertandingan bahasa dan inovasi.

Ramai pelajar-pelajar yang dibimbing oleh Dr. Sirhajwan yang telah berjaya menempa nama di persada antarabangsa seperti Alesyah Asa yang merupakan 10 finalis terbaik Global Student Prize pada tahun 2022 dan Zurainnizah Omar yang berjaya meraih anugerah melalui OD Impact Challenge pada tahun yang sama.

Dia juga sering melaksanakan bengkel inovasi dan amalan terbaik di sekolah-sekolah di Sabah dan di negeri-negeri lain. Pengarah kolej itu, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, berasa gembira dengan pengiktirafan itu kerana ianya mampu memberi platform kepada Dr. Sirhajwan Idek untuk memperluaskan lagi usaha murninya membantu memartabatkan pendidikan negara ini.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *