Remaja Lemas, Dua Rakan Terselamat Ketika Mandi Di Pantai Tempurung

Mayat mangsa ditemukan 50 meter dari pantai Kampung Tempurung, Kuala Penyu pada pagi Ahad.

KUALA PENYU : Seorang remaja lelaki ditemukan lemas manakala dua lagi rakannya terselamat ketika mandi di pantai Kampung Tempurung di sini pada Sabtu.

Mangsa, Ikhwan Haikal Kamis, 17, ditemukan kira-kira 50 meter dari pantai oleh penduduk kampung pada jam 6.15 pagi Ahad.

Dua lagi mangsa, dikenali sebagai Mohamad Aizat berusia 15 tahun dan Mohamad Hafizan berusia 17 tahun kini sedang dirawat di Hospital Kuala Penyu.

Mangsa yang terselamat daripada lemas dalam kejadian di pantai Kampung Tempurung, Kuala Penyu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu, Awang Mohd Sabree berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.36 petang Khamis.

Menurutnya, seramai lima anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 23 kilometer dari BBP Kuala Penyu.

“Difahamkan semua mangsa dari Beaufort untuk menziarahi kubur ahli keluarga mereka di Kuala Penyu dan selepas selesai, mereka singgah ke pantai Kampung Tempurung untuk beriadah serta mandi.

“Dalam kejadian itu, dua mangsa sempat diselamatkan penduduk kampung bagaimanapun seorang lagi mangsa dibawa arus berikutan keadaan ombak yang kuat semalam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilakukan dengan kaedah pencarian di permukaan atas air.

“Pencarian dibuat di lokasi dua kilometer dari mangsa dilaporkan hilang namun tidak menemui sebarang petanda sebelum operasi ditangguhkan pada jam 7.07 malam.

“Bagaimanapun, mangsa akhirnya ditemui pagi tadi oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung,” jelasnya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *