Bersatu Kekal Di Sabah, Kata Peja

Ahmad Faizal Azumu berkata pengurusan parti akan segera membentuk struktur yang runtuh di pelbagai peringkat untuk kembali memperkasakan Bersatu di Sabah.

PETALING JAYA: Bersatu akan terus kekal di Sabah dan kembali bangkit, kata timbalan presidennya, Ahmad Faizal Azumu.

Kenyataan itu menyusul selepas pemimpin tertinggi Bersatu Sabah diketuai ketuannya, Hajiji Noor, mengumumkan keluar parti itu, hari ini.

“Pengurusan parti akan segera membentuk struktur yang runtuh di pelbagai peringkat untuk tujuan kembali memperkasakan parti.

“Kita amat yakin dengan penerimaan dan sokongan rakyat kepada Bersatu di seluruh negara termasuk di negeri Sabah. Bersatu akan kekal di Sabah dan akan bangkit daripada situasi ini,” katanya dalam kenyataan.

Faizal juga menyatakan dukacita atas pengumuman dibuat Hajiji yang pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun menghormati pendirian ketua menteri itu termasuk pemimpin negeri lain.

Beliau juga menyatakan kekagumannya membabitkan ahli Bersatu yang kekal setia bersama parti itu, selain menegaskan satu hari nanti mereka akan “mengenali” Anwar Ibrahim yang didakwa sentiasa memungkiri janji.

Dalam pada itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, memuji langkah diambil pemimpin di Sabah.

“Keputusan yang tepat diambil oleh pemimpin-pemimpin Sabah. Keputusan yang sukar, namun tetap dilakukan demi masa depan negeri dan kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan ringkas di Facebook.

Awal hari ini, Hajiji berkata pemimpin Bersatu Sabah “sebulat suara” keluar parti atas dasar bahawa ia tidak lagi boleh dipertahankan untuk kekal sebagai status quo.

Katanya, di peringkat persekutuan, Bersatu adalah pembangkang manakala GRS telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, Hajiji berkata beliau dan kepimpinan Sabah akan menubuhkan sebuah parti tempatan yang baharu, namun untuk sementara ini, secara kolektif akan menjadi ahli GRS.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *