Sokong Anwar, Kerajaan Perpaduan: Wakil Rakyat BERSATU Sabah Bakal Keluar Parti?

Datuk Seri Anwar menerima kunjungan Datuk Seri Hajiji bersama Datuk Armizan di Putrajaya baru baru ini.

KOTA KINABALU: Desas-desus bertiup semakin kencang mendakwa wakil rakyat daripada BERSATU di negeri ini bakal meninggalkan parti itu dan memilih keahlian terus dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

Spekulasi itu mula berlegar sejak beberapa hari lalu selepas kedudukan mereka dalam BERSATU mencetuskan persoalan kerana parti berkenaan adalah komponen Perikatan Nasional (PN) yang menjadi pembangkang pada peringkat Persekutuan.

Ia berikutan Ketua Menteri Sabah yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah dan Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, menyatakan sokongan kepada Anwar serta Kerajaan Perpaduan, baru-baru ini.

Sokongan Hajiji itu turut disahkan oleh Anwar, malah wakil GRS daripada BERSATU Sabah, Datuk Armizan Mohd Ali yang juga Ahli Parlimen Papar, dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan.

Situasi itu menyebabkan kedudukan wakil rakyat BERSATU Sabah yang menyokong Anwar dan Kerajaan Perpaduan, dilihat janggal kerana pada masa sama mereka juga adalah wakil rakyat BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) yang tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan.

Satu-satunya ruang yang membolehkan mereka menyokong Kerajaan Perpaduan kini ialah dengan menggunakan nama GRS, memandangkan BERSATU Sabah merupakan komponen gabungan itu bersama parti tempatan lain, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).

Justeru, menurut sumber, 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BERSATU di Sabah termasuk dua ADUN Dilantik, serta empat Ahli Parlimennya perlu meninggalkan parti itu dan menjadi ahli langsung GRS supaya tidak timbul lagi persoalan mengenai kedudukan mereka.

GRS yang didaftarkan sebagai sebuah entiti politik baharu di Sabah pada awal tahun ini, dikata membenarkan keahlian terus, selain komponen parti untuk menjadi ahlinya.

Selain keahlian terus dalam GRS, spekulasi juga menyatakan wakil rakyat BERSATU Sabah berkemungkinan akan menyertai USNO yang diketuai bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, atau parti lain yang akan diambil alih.

Namun, sumber berkata, wakil rakyat BERSATU Sabah berkemungkinan memilih keahlian terus dalam GRS selepas perkara itu diperhalusi bagi memastikan tiada masalah atau halangan untuk mereka berbuat demikian.

Setiausaha Agung GRS yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dilaporkan sebuah portal berita, hari ini, sebagai berkata khabar angin mengaitkan mereka dengan USNO adalah tidak benar, sebaliknya beliau meminta diberi tempoh beberapa hari lagi berhubung keahlian terus dalam GRS.

Bagaimanapun, beliau dilapor enggan menjelaskan bagaimana ‘proses’ terbabit akan dilakukan dan struktur GRS selepas ini sekiranya wakil rakyat BERSATU Sabah keluar parti serta memilih keahlian terus dalam gabungan berkenaan.

Dalam pada itu, sumber mendakwa, soal halangan lompat parti tidak timbul memandangkan Sabah belum membentangkan usul pindaan Perlembagaan Negeri bagi menghalang wakil rakyat bertukar parti.

Jika spekulasi itu menjadi kenyataan, GRS bakal menjadi sebuah gabungan parti yang benar-benar berasaskan Sabah berbanding masih dipengaruhi parti luar, iaitu BERSATU ketika ini. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *