19 PATI Ditahan , 31 Saman Dikeluarkan Dalam Operasi Bersepadu

LAHAD DATU: Seramai 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 31 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya dikeluarkan dalam Operasi Bersepadu yang dilaksanakan pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Dalam operasi yang dijalankan bermula 1 hingga 6 Disember itu, sebanyak 1,331 individu, 205 buah kenderaan dan 486 rumah dan premis telah diperiksa.

Komander ESSCOM, Datuk Hamzah Ahmad berkata, berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan, 19 PATI ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Dalam operasi sama, sebanyak 26 keping saman trafik dan lima saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jumlah nilai rampasan terlibat adalah sebanyak RM2,002 dan rampasan tertinggi adalah rampasan rokok seludup pelbagai jenama.

Di samping itu, 14 kompaun Majlis Daerah Lahad Datu turut dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki lesen perdagangan dan pengendalian makanan telah dikeluarkan selain tindakan pemotongan penyambungan wayar elektrik haram di Kampung Panji.

Beliau berkata, operasi tersebut melibatkan seramai 80 pegawai dan anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia, Pejabat Daerah, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Pengangkutan Jalan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Majlis Daerah dan Sabah Electricity Sdn. Bhd.

Menurut Hamzah, operasi berkenaan dijalankan bagi menguatkuasakan undang-undang di samping mengekang elemen jenayah rentas sempadan melibatkan PATI yang boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Tambahnya, ESSCOM juga akan mempergiat operasi sebegini bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu-gugat keselamatan dan kesejahteraan awam terutama di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone)

Sehubungan itu, masyarakat disaran untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZone ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863 181 atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 011-63311072.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *