Politik Sabah Berpecah Belah, Bertuah Dapat 2 Jawatan Menteri, Kata Masidi

Masidi Manjun berkata, Sarawak diberi lima jawatan menteri kerana ahli politik negeri itu sentiasa bersatu.

KOTA KINABALU: Ahli politik di Sabah perlu menyalahkan diri mereka sendiri selepas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hanya memilih dua Ahli Parlimen dari negeri itu sebagai ahli Jemaah Menteri, kata Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Masidi Manjun.

Katanya, politik di Sabah terlalu pecah belah dengan ahli politik cuba menyingkirkan satu sama lain berbanding bersatu.

“Selama yang saya ingat, kita sentiasa bergaduh antara satu sama lain. Kita sangat berpecah belah. Kita lakukan semuanya kecuali bersatu.

“Berbanding Sarawak. Punca mereka dapat lima jawatan menteri kerana mereka bersatu. Mengapa kita orang Sabah tidak mempelajari sesuatu daripada mereka? Saya yakin banyak sebab untuk kita bersatu berbanding untuk berpecah.

“Masalahnya kita lebih memikirkan untuk cuba bersaing antara satu sama lain, menjatuhkan sesama sendiri daripada bersatu dan melakukan sesuatu yang baik untuk Sabah. Apa yang kamu tanam, itu yang kamu tuai,” kata naib pengerusi Bersatu Sabah itu.

Mengulas mengenai pelantikan Ahli Parlimen Bersatu Sabah, Armizan Ali sebagai menteri hal ehwal Sabah dan Sarawak, Masidi berkata, itulah adalah hak perdana menteri untuk memilih anggota Jemaah Menterinya.

“Saya lihat ia sebagai niat Anwar untuk satu kerajaan inklusif. Dalam kerajaan perpaduan, semua orang mengenepikan perbezaan politik mereka untuk sementara waktu, demi kepentingan negara, terutama kita ketika ini berdepan dengan situasi politik yang mencabar.

“Ini bukannya kerajaan biasa kerana ketika ini kita bukan dalam keadaan biasa. Jadi, isu mengapa sebahagian menjadi menteri dan sebahagian lagi tidak, tidak sepatutnya timbul,” katanya.

Masidi juga menolak cadangan Bersatu Sabah tidak seharusnya ada tempat dalam Jemaah Menteri kerana secara teknikalnya parti itu masih sebahagian Perikatan Nasional (PN).

Katanya, pemimpin PN sendiri memutuskan untuk tidak menyertai kerajaan perpaduan dan sebaliknya memilih menjadi pembangkang.

Sementara itu, Masidi berkata, ADUN dari Pakatan Harapan (PH) Sabah bertemu ketua menteri pada minggu lalu untuk menyatakan sokongan kepada kerajaan negeri GRS-BN tetapi buat masa ini tiada perbincangan untuk membentuk kerajaan perpaduan (seperti di peringkat persekutuan) di Sabah.

“Kami memutuskan untuk mengenepikan politik dan berkerjasama untuk Sabah. Bagi saya tiada kawan atau musuh yang kekal dalam politik.

“Kami menyertai politik untuk kebaikan Sabah, atas sebab itu politik partisan tidak boleh menjadi pertimbangan utama. Kita perlu menerima realiti politik hari ini,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *