Ewon ‘Anak Kampung’ Harapan Rakyat Sabah

Datuk Ewon Benedick

KOTA KINABALU, 3 Dis : Nama Datuk Ewon Benedick bukan asing lagi di bibir rakyat Sabah terutama masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR), yang mengenali beliau sebagai seorang pemimpin muda yang semakin meningkat naik.

Berasal dari Kampung Penampang Proper, Penampang, Ewon, 39, merupakan ‘anak kampung’ yang mudah didekati, justeru pelantikan beliau sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi disambut dengan perasaan gembira, serta harapan menggunung bagi membentuk negara serta Sabah yang lebih baik.

Naib Presiden Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) itu dilahirkan pada 1 Ogos 1983 di kampung ayahnya Benedick Yong Santung @ Donik di Kampung Penampang Proper, dan ibunya Gobidah Gindai berasal dari Kampung Kiau, Kota Belud.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Pembangunan Perisian) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (2002-2005), dan mendapat pendidikan antaranya di Kolej Matrikulasi Ibukota Kinabalu (2001–2002) dan Sekolah Menengah Kebangsaan St Micheal, Penampang (1999-2000).

Menyusuri karier politiknya, anak muda etnik Kadazan itu bergiat aktif dalam UPKO dengan menjadi  Ketua Komulakan UPKO (2006-2018), Ketua Bahagian UPKO Kota Belud (2013-2022), sebelum menjadi Naib Presiden parti itu pada 2018 hingga kini.

Beliau bakal mengambil alih jawatan sebagai Presiden UPKO daripada Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau, pada kongres parti itu dijadual pada 14 hingga 15 Jan tahun hadapan.

Ewon juga pernah menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah (2018-2020).

Beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian selama dua penggal, selepas memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 3,294 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun 2018, dan majoriti 3,459 undi pada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-16 tahun 2020.

Pada PRU15, Ewon mewakili Pakatan Harapan memenangi kerusi Parlimen Penampang dengan majoriti 14,410 undi, mengalahkan penyandang Datuk Darell Liking daripada Parti Warisan dalam saingan empat penjuru. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *