Jemaah Menteri Anwar Paling Mengecewakan Dalam Sejarah Negara, Kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin mengibaratkan tindakan Anwar Ibrahim melantik ‘kleptokrat’ dalam Jemaah Menteri seperti menjual maruah negara.

KUALA LUMPUR : Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin membidas barisan Jemaah Menteri baharu pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai yang “paling mengecewakan dalam sejarah negara”.

Muhyiddin dalam kenyataan berkata, dengan melantik “kleptokrat”, Anwar telah mengorbankan prinsip tadbir urus yang baik yang dianjurkannya semasa PRU15.

“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi perdana menteri,” katanya merujuk kepada pelantikan Ahmad Zahid Hamidi sebagai salah seorang daripada timbalan perdana menteri.

“Jemaah Menteri kleptokrat yang tertubuh atas penipuan terhadap mandat rakyat ini tidak mempunyai sebarang keabsahan untuk berfungsi sebagai badan eksekutif tertinggi negara.”

Zahid sedang dibicarakan atas 47 tuduhan membabitkan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah.

Selain itu, Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu turut membidas Anwar yang melantik diri sendiri sebagai menteri kewangan.

“(Ini) satu amalan yang membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewengan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1MDB sebelum ini.

“Bagaimana rakyat dan pelabur boleh percaya terhadap kepimpinan Anwar apabila beliau ternyata berbohong kepada seluruh dunia mengenai agenda anti rasuah, reformasi institusi dan pembelaan nasib rakyat jelata,” tegasnya.

Pakatan Harapan dalam manifesto PRU 2018 berjanji perdana menteri tidak akan memegang jawatan lain serentak, selepas Najib Razak memegang dua jawatan penting termasuk menjadi perdana menteri sebelum ini.

Susulan itu, Dr Mahathir Mohamad tidak memegang sebarang portfolio lain semasa menjadi perdana menteri dalam kerajaan PH terdahulu.

Penggantinya, Muhyiddin dan Ismail Sabri Yaakob, turut mengekalkan dasar tersebut.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *